Akhirnya Mohd Yusni Lakukan Pusingan U....
Pemuda PAS PP tarik balik boikot PRK Pmtg Pauh
Pemuda PAS Pulau Pinang telah mengubah pendiriannya dan hari ini mengumumkan untuk membantu jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata, keputusan itu diambil selepas mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Timbalannya. Khairil Nizam Khirudin, malam tadi.
"Kami sebulat suara untuk akur arahan PAS Pusat untuk bantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.
"Kami juga tetap dengan pendirian kami supaya AMK menarik balik kenyataan melampau terhadap presiden PAS," katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Kepala Batas pagi ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Khalil dan Khairil.
Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini bertegas tidak akan membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri masih tidak memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan melampau kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
AMK Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.
Selain itu, Yusni berkata tindakan pihaknya membantu jentera Pakatan pada PRK ini tidak bermakna mereka akur dengan kenyataan AMK itu.
Walaupun AMK belum menarik balik kenyataan dan memohon maaf, Pemuda PAS akan tetap membantu jentera pilihan raya Permatang Pauh atas dasar mempertahankan kerusi itu, katanya.
Malah, Yusni berkata, pihaknya juga hanya akur pada Majlis Syura Ulama apabila sebelum ini yang menetapkan bahawa PAS masih lagi kekal di dalam Pakatan.
"Kita tetap dengan pendirian kita pada masa sama tetap nak pertahankan kerusi Permatang Pauh. Tidak mahu kerusi terlepas dari Pakatan.
"Kita ada Majlis Syura Ulama yang tetapkan PAS masih dalam Pakatan, jadi akhirnya kita akan akur," tegasnya lagi.
Selain itu, Yusni juga berkata, beliau turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya dikenakan tindakan tatatertib.
"Saya bersedia dan tahu prosudernya. Kalau ada laporan untuk diambil tindakan, saya bersedia kalau diminta.
"Saya atau (PAS) Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Lembaga Tatatertib," katanya lagi. -mk
0 orang berkata:
Post a Comment