• PRK Permatang Pauh
 1 / 1 
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan BN sentiasa komited dan ikhlas untuk membela nasib dan masa depan penduduk Permatang Pauh khususnya golongan petani.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, beliau berharap penduduk di sini supaya tidak meragui keikhlasan kerajaan kerana walaupun BN pernah kalah sebelum ini di kawasan itu, namun projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, hospital dan sekolah terus dilaksanakan.
  
"Saya mahu pengundi menggunakan pemikiran yang rasional untuk memilih masa depan mereka dan jangan mudah dihasut janji-janji pembangkang," katanya.
  
Tajuddin berkata, apa yang dinikmati oleh penduduk di kawasan itu sekarang adalah hasil usaha BN dan projek pembangunan akan bertambah sekiranya calon BN dalam PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini diberi peluang untuk berkhidmat.
  
Katanya, beliau yakin kerajaan BN pusat akan memberikan perhatian yang lebih kepada Permatang Pauh jika calonnya diberi peluang untuk memimpin Parlimen Pauh.

"Kami komited dan ikhlas untuk membangunkan kawasan ini supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih senang. Berilah peluang kepada calon kami, Suhaimi Sabudin berkhidmat untuk penduduk di sini," kata Tajuddin kepada Bernama selepas program tinjauan mesra di Tanah Liat di sini hari ini.
  
Beliau yakin Suhaimi mempunyai peluang yang terbaik untuk memenangi PRK kali ini kerana masalah dalaman yang dihadapi pakatan pembangkang.
  
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN akan ditentang calon PKR yang juga Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia, serta calon Bebas, Salleh Isahak.
  
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
  
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei. - Bernama