• Pemuda Pas beralah demi PRK Yusni bersama pimpinan Pemuda Pas negeri dan Pusat menunjukkan kenyataan media yang dikeluarkan selepas persetujuan bersama di Markas Pas Pongsu Seribu.
1 / 1
KEPALA BATAS - Akhirnya Pemuda Pas Pulau Pinang mengalah dan menggerakkan semula jenteranya membantu kempen PRK Permatang Pauh dengan alasan bagi memastikan kerusi parlimen itu tidak jatuh kepada musuh PR. 
 
Sungguhpun begitu, ia masih mengekalkan desakan meminta AMK Pulau Pinang meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan biadab dan memfitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua bulan lalu.  
 
Ketuanya, Mohd Yusni Md Piah berkata, keputusan bersama ahli jawatankuasa Pemuda negeri dicapai selepas menghadiri mesyuarat tergempar dengan Pemuda Pas Pusat yang disertai timbalan ketua, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan naib ketua, Ir Khairil Nizam Khirudin lewat malam kelmarin.
 
Beliau berkata, semua jentera yang direhatkan sebelum ini akan digerakkan semula untuk berkempen seperti biasa bagi menjamin kemenangan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 
 
“Pemuda Pas Pulau Pinang sebulat suara memutuskan untuk akur kepada arahan Pas Pusat bagi membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas Pulau Pinang di Pongsu Seribu, di sini, pagi semalam.
 
Turut hadir, Muhammad Khalil, Khairil Nizam, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Kasim dan setiausaha, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
 
Pada 26 April lalu, Mohd Yusni berkata, Pemuda Pas Pulau Pinang kekal dengan pendirian merehatkan jentera untuk PRK Permatang Pauh berikutan kegagalan AMK Pulau Pinang memenuhi tuntutannya hingga hari penamaan calon.  
 
Ini kerana AMK Pulau Pinang gagal meminta maaf secara terbuka kepada Presiden Pas yang didakwa menjalinkan kerjasama dengan Umno dan meminta beliau meletak jawatan. 
 
Berikutan itu, semua jentera Pemuda Pas Pulau Pinang direhatkan dan tidak terlibat dalam urusan PRK Permatang Pauh walaupun masih menjalin kerjasama dengan rakan PR.   
 
Sehingga saat ini, AMK Pulau Pinang belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan atau memohon maaf.
 
Mohd Yusni berkata, tindakan membantu jentera PR di Permatang Pauh tidak bermakna mereka akur dengan kenyataan AMK itu sebaliknya mematuhi arahan Majlis Syura Ulama yang menetapkan Pas masih lagi kekal dalam PR. 
 
“Kami tetap dengan pendirian sebelum ini tetapi pada masa sama tetap mahu mempertahankan kerusi Permatang Pauh. Tidak mahu kerusi terlepas dari PKR dan PR," katanya.
 
Ditanya sama ada tindakan itu disebabkan desakan pelbagai pihak dari dalam parti dan tangan ghaib, beliau menafikannya sebaliknya berkata, ia lebih kepada akur kepada arahan Pas Pusat.