• Jumlah korban terus meningkat Pasukan penyelamat membawa keluar mayat dari bawah runtuhan bangunan di Balaju, Kathmandu, semalam.
1 / 1
KATHMANDU - NEPAL . Angka kematian mangsa gempa di Nepal pada Sabtu lalu kini mencecah sekurang-kurangnya 3,617 orang manakala lebih 6,500 lagi dilaporkan cedera pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan di negara itu.

Selain itu, puluhan orang juga dilaporkan terkorban di China dan India.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana di Kathmandu, Rameshwor Dangal memberitahu, ribuan penduduk kini terpaksa berlindung di bawah khemah yang didirikan di ibu negara selepas kebanyakan daripada mereka masih trauma dan khuatir jika gempa susulan berlaku.

Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat dan bantuan kemanusiaan telah tiba di negara itu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bawah runtuhan bangunan masih diteruskan di kawasan terjejas teruk.

Operasi SAR turut disertai ratusan pekerja bantuan asing dari China, India dan Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan, jumlah kematian dijangka meningkat selepas operasi tersebut dipergiat.

Difahamkan, Suruhanjaya Eropah dilaporkan menyalurkan dana bantuan kecemasan berjumlah AS$3.25 juta (RM12 juta) kepada kerajaan Nepal untuk membiayai bekalan air bersih, ubat-ubatan, membuka pusat penempatan sementara dan menyambung semula talian komunikasi di kawasan terjejas teruk.

Sementara itu, India juga menghantar kira-kira 13 pesawat tentera yang membawa bekalan makanan dan keperluan asas lain untuk penduduk di Kathmandu.

Media tempatan melaporkan kebanyakan hospital di sekitar ibu negara terus sesak dengan penduduk cedera yang mahu mendapatkan rawatan. - AFP