• Pas-PKR berdamai, tapi kena sokong hududOmar (dua, kanan) bersama pemimpin PR mengiringi Dr Wan Azizah ke pusat penmaan calon PRK Permatang Pauh.
 1 / 1 
BUKIT MERTAJAM - Pas kawasan Permatang Pauh yang sebelum ini bertegas tidak akan memberi sokongan kepada calon PKR jika mereka tidak menarik balik kenyataan tidak menyokong hudud membuat 'pusingan U' apabila melancarkan jentera pilihan raya mereka malam tadi.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan menyifatkan kemelut yang melanda Pas kawasan itu dan PKR sebagai sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini.  


"Kita telah mendapat arahan daripada majlis syura ulama yang dipengerusikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya jentera pilihan raya Pas kawasan Permatang Pauh memberi sokongan.

"Semuanya sudah selesai," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Kawasan Permatang Pauh oleh Timbalan Presiden parti, Mohamad Sabu, di sini.


Isu sokongan Pas terhadap calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh timbul apabila Pas kawasan Permatang Pauh meluluskan usul menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Ia juga mahukan PKR memohon maaf secara terbuka untuk mendapat sokongan Pas kawasan itu pada PRK berkenaan.  

Ditanya sama ada rakan sekutunya itu telah memohon maaf atau tidak, Omar berkata: "(Isu itu) tidak ditimbulkan lagi...perkara itu sudah selesai".

Sementara itu, Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata mesyuarat bersama pemimpin pusat dan kawasan kedua-dua parti itu malam semalam telah mencapai kata sepakat, selain Pas kawasan Permatang Pauh menyatakan sokongan kepada calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Perbezaan pandangan akan ada sehingga hari kiamat. Kita manusia akan mencari jalan penyelesaian...berbincang ke arah kebaikan dan penyatuan," katanya.

Beliau berkata jentera pilihan raya parti akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon pakatan rakyat.


PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

Calon BN Suhaimi Sabudin yang juga setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh akan ditentang Presiden PKR Dr Wan Azizah, Salleh Ishak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia. - Bernama