• Dr Mahathir Dr Mahathir
1 / 1
KAJANG - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau sudah beberapa kali cuba memujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperbetulkan 'kesilapannya'  namun sehingga kini masih gagal.
 
Katanya, tindakan beliau bersuara sekarang adalah kerana beliau risau akan riwayat BN berdasarkan, prestasi semasa parti itu yang kurang memberangsangkan.
 
"Tiada (hubungi Najib secara peribadi), tetapi itulah, saya dah lama dah saya cakap ,  saya cuba hendak pujuk, tetapi tiada kesan langsung, datang pilihan raya kalah.
 
"'Bukanlah kalah',  tetapi lebih teruk daripada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), zaman Pak Lah menang lebih lagi, itulah yang saya susah hati, bukan sebab  saya, bukan sebab anak saya," katanya ketika sidang media, di sini hari ini.
 
Sementara itu, beliau turut mengulas desas-desus yang mengatakan tindakan beliau 'menyerang' Najib kini adalah bagi mengangkat anaknya ke tahap yang lebih tinggi di dalam pentadbiran sekarang.
 
Dr Mahathir berkata, adalah tidak releven kerana jika betul beliau mahu anak-anaknya mendapat kedudukan dalam kerajaan, sudah pasti pada zaman beliau menjadi Perdana Menteri perkara ini telah berlaku.
 
"Dulu saya tak bagi masuk politik (anaknya), langsung, tegah, kalau saya hendak tolong dia, waktu saya jadi PM, saya angkat anak saya menjadi menteri," katanya.