• Pas umpama dinoda rakan sendiri Gambar hiasan
1 / 1
KOTA BHARU - Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan Pas kini seperti sudah hilang arah dan tidak mempunyai prinsip perjuangan sendiri.
"Apabila satu keputusan kita buat, kita perlu kekal dengan keputusan itu. Kita jadi pemimpin parti politik kena yakin dan selalu berpegang kepada keputusan yang telah dibuat.

"Pas seperti telah dinodai oleh rakan mereka sendiri, apabila mereka ingin hudud dibawa ke Parlimen, yang lantang menentang adalah rakan kongsi mereka sendiri," kata Ahmad Jazlan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Permatang Pauh yang membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh dan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu Angkatan Muda Keadilan negeri memohon maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan Pas berhubung hukum hudud.

Pada 25 April lepas, Pas Permatang Pauh yang turut melahirkan hasrat memboikot PRK itu, menarik balik keputusannya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR pada malam sebelumnya.

PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (PKR) dan Salleh Isahak (Bebas). - Bernama