• Najib Tun Razak Najib Tun Razak
1 / 1
KUALA LUMPUR – Menyedari hakikat ada pihak yang mempersoalkan kebenaran kisah-kisah kejayaan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menegaskan kerajaan tidak mereka-reka sebarang angka atau ‘memetiknya dari awan’.

Menurutnya, pencapaian kerajaan seperti dibentangkan dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) diiktiraf pelbagai pihak sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa serta disahkan juru audit bertauliah.

“Bak kata orang, kita bukan beromong-omong kosong, bukan pula saudagar yang menjual mimpi, (dan) tidak juga bercakap bohong. Kerajaan yang ada pada hari ini berpijak di bumi yang nyata.

“Saya timbulkan perkara tersebut kerana mutakhir ini kerajaan diasak dan dikritik dengan pedas oleh sesetengah pihak. Kita sedar resam bahawa hendak penuhi kemahuan dan kehendak setiap pihak dalam apa juga perkara adalah mustahil dan bukan sifat kemanusiaan.

Hanya ALLAH maha pencipta dan maha melengkapi segala-galanya,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Laporan Tahunan NTP 2014, malam tadi.

Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa mendengar rungutan dan kritikan serta mengalu-alukan pandangan semua golongan rakyat namun menegaskan apa juga kritikan dan saranan perlu bersifat membina dan tidak dibuat secara semberono.

Dalam ucapannya semalam, Najib turut memperbetulkan tanggapan ramai mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu antara usaha kerajaan yang dikritik sesetengah pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Najib, BR1M adalah subsidi bersasar dalam bentuk tunai yang diberikan kepada golongan memerlukan sebagai pendekatan terbaik untuk Malaysia buat masa ini.

“Dulu ada subsidi pukal, ini subsidi bersasar. Bantuan ini telah pun dilaksanakan di pelbagai negara dalam pelbagai cara dan bermacam-macam nama seperti bantuan pendidikan, bayaran kebajikan, kupon makanan serta lain-lain.

“Misalnya di Indonesia pada 2013 menerusi program Keluarga Harapan, rakyatnya diberi bantuan tunai bagi membantu mengurangkan kos sara hidup selepas rasionalisasi subsidi dan diesel, dengan kos anggaran 700 bilion Rupiah atau RM200 juta. Ternyata BR1M bukanlah satu kes asing,” katanya.

Beliau turut menjelaskan BR1M adalah langkah sementara dalam proses konsolidasi fiskal bagi membantu golongan memerlukan.

'Saya tidak akan berganjak'

Sepanjang pembentangannya, Najib turut berkongsi beberapa contoh kisah benar mengenai rakyat yang telah mendapat manfaat daripada pelbagai program kerajaan di bawah NTP, termasuk BR1M.

“Sesiapa saja boleh katakan apa yang mereka suka dan fikirkan tetapi bagi individu (yang memerlukan), BR1M betul-betul dapat ringankan beban yang ditanggung (mereka),” katanya.

Menurutnya, beberapa petunjuk besar menunjukkan kejayaan di bawah Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak 2010.
Ini termasuk peningkatan pendapatan negara kasar per kapita daripada AS$7,059 pada 2009 kepada AS$10,426 pada 2014, iaitu menghampiri sasaran AS$15,000 ditetapkan kerajaan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Selain itu katanya, jumlah pekerjaan baharu yang dicipta dalam kesemua sektor Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) pada 2014 ialah sebanyak 1.5 juta sejak 2010.

“Selain itu, lebih lima juta rakyat di luar bandar mendapat kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih dan hampir 170,000 golongan miskin  berjaya dibawa keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Najib turut mengajak rakyat berfikiran secara matang dan tidak diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan usaha murni pentadbirannya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan berikrar tidak akan berhenti dalam usahanya membangunkan negara.

“Biar kita diasak dan dikritik... sebagai kerajaan yang telus, saya sebagai Perdana Menteri, bersama Timbalan Perdana Menteri, bersama menteri dan rakan pentadbiran tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah malah akan terus istiqamah berjuang demi negara,” katanya.