• Polis beri amaran jangan timbul isu sensitifPenyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) hadir memberi sokongan kepada calon BN Suhaimi Sabudin pada proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hari ini. - Foto Bernama
 1 / 1 
BUKIT MERTAJAM - Semua parti politik dan calon bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini, diberi amaran agar tidak menimbulkan isu agama dan perkauman ketika berkempen.
 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, amaran itu diberi bagi mengelak berlaku ketegangan dalam kalangan orang ramai di kawasan tersebut.
 
Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang menimbulkan isu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
 
"Polis memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam di Permatang Pauh sepanjang tempoh berkempen ini dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di sini hari ini.
 
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.
 
Abdul Rahim berkata, proses penamaan calon hari ini berjalan lancar walaupun dihadiri kira-kira 10,000 penyokong BN dan PR.

Mengenai permit ceramah untuk kempen PRK itu, beliau berkata setakat ini polis belum menerima permohonan daripada parti-parti politik dan calon bertanding.
 
"Saya nasihatkan mereka (parti politik) agar memohon permit untuk mengadakan ceramah sepanjang tempoh berkempen ini supaya tidak melanggar peraturan pilihan raya dan ceramah mereka berjalan lancar," katanya.
 
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya akan mengkaji sama ada penggunaan pembesar suara oleh penyokong yang hadir pada hari penamaan calon hari ini, menyalahi peraturan pilihan raya atau sebaliknya.
 
"Jika ada kesalahan dari segi undang-undang dan peraturan pilihan raya, polis akan ambil tindakan," katanya.
 
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
 
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.  - Bernama