Pulau Pinang pertimbang saman SPR
GEORGETOWN - Pulau Pinang sedang menimbang untuk memfailkan saman ke
atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa tidak adil dalam
persempadanan semula kawasan pilihanraya.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya merasakan berlaku tidak
adil dalam persempadanan semula itu yang baharu dibuat oleh suruhanjaya
itu.
Menurutnya, walaupun ia tidak melibatkan banyak kerusi, namun pihaknya
tetap merasakan pembahagian sempadan itu tidak adil kepada Pulau Pinang.
"Kita rasa ia tidak adil sebab Kerajaan Pulau Pinang tidak diberi
peluang untuk memberi pandangan ke atas beberapa kawasan yang dirasakan
tidak adil. Namun, kita terima bahawa di Pulau Pinang, hanya dua kerusi
terlibat. Walaubagaimanapun, kita akan semak berhubung perkara itu.
Perkara ini amat mendukacitakan kerana mereka tidak cuba untuk samakan
kawasan-kawasan.
"Mereka tidak mengimbangi pengundi contohnya, Paya Terubong, bilangan
pengundi bertambah dengan 41,000 pengundi sedangkan kawasan saya, mereka
kurangkan undi menjadi 12,000 sahaja.
Mengapa kurangkan pengundi di
kawasan saya? Ini yang saya bantah. Ia jelas tidak adil," katanya kepada
media selepas lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
Mak Mandin, Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.
Difahamkan sebelum ini, Dun Paya Terubong mempunyai 39,649 pengundi
berdaftar manakala Dun Air Putih mempunyai 13,803 pengundi berdaftar.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, walaupun Pulau Pinang
hanya melibatkan dua kerusi, namun ia dilihat masih tidak adil.
"Jika dibandingkan dengan negeri lain, Pulau Pinang tidak melibatkan
banyak kawasan tetapi masih tidak adil. Secara keseluruhannya, ia masih
tidak adil. Oleh itu, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan semua pihak
terlibat akan memfailkan bantahan kepada SPR. Kita mempunyai 30 hari
untuk failkan bantahan iaitu sehingga 14 Oktober depan dan yang pasti,
kita akan failkan (bantahan itu).
"Persempadanan itu perlu mengimbangi pengundi berdaftar untuk kiraan
undi di setiap kawasan.
Persempadanan ini juga dilihat cuba untuk
memastikan Umno dan BN boleh menang semula di Pulau Pinang," katanya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan memutuskan untuk mengadakan bantahan
berhubung keputusan SPR untuk menjalankan persempadanan semula.
Ketua Setiausaha Sekreteriatnya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata,
pihaknya juga akan membuat penjelasan terhadap rakyat berhubung
keperluan membuat bantahan itu.
Sebelum ini, SPR memaklumkan akan melaksanakan kajian semula
persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri Tanah
Melayu berlandaskan peruntukkan Fasal 2 Perkara 113, Perlembagaan
Persekutuan.
SPR juga akan melaksanakan kajian semula persempadanan
bahagian-bahagian pilihan raya bagi Sabah selaras dengan pindaan Fasal 2
Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang telah diwartakan pada 18 Ogos
2016.
1 orang berkata:
" Sialan Pada Rakyat " bro
Post a Comment