Jeff Ooi dibebaskan dengan jaminan polis
GEORGETOWN - Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun ditahan selama empat jam dan dibebaskan dengan jaminan polis sebentar tadi.
Salah seorang peguamnya, RSN Rayer berkata, Chuan Aun atau lebih
dikenali sebagai Jeff Ooi ditahan sebaik selesai memberi keterangan
kepada pihak polis.
Menurutnya, Jeff Ooi bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dengan tempoh sebulan.
"Kita ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk memberi
keterangan seperti yang diminta Ketua Polis Negara berhubung laporan
polis yang dibuat ke atas Jeff Ooi.
"Jeff Ooi kemudiannya ditahan selepas dia memberi keterangan namun dibebaskan dengan jaminan polis selama tempoh sebulan.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu sama ada akan dipanggil semula dalam
tempoh terdekat ini namun, kita berjanji akan memberi kerjasama penuh
kepada polis pada bila-bila masa.
"Jeff Ooi disiasat oleh dua pegawai polis dari Ibupejabat Polis Daerah
(IPD) Dang Wangi dan pegawai polis dari IPDTL berhubung laporan polis
yang dibuat termasuk laporan polis di Johor," katanya.
Terdahulu, Jeff Ooi tiba bersama Rayer kira-kira jam 2.30 petang
semalam dengan menaiki pacuan empat roda Toyota Fortuner untuk memberi
keterangan berhubung kenyataan (posting) biadab di Twitternya berhubung
pemergian tokoh agama terkenal, Allahyarham Datuk Haron Din.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jeff Ooi tampil beri keterangan]
Difahamkan, selain Rayer, Jeff Ooi akan diwakili tiga lagi peguam iaitu
Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh Deo dan Lim Lip Eng sekiranya kes
berkenaan dibawa ke mahkamah.
Rayer berkata, Jeff Ooi disiasat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Sesi rakaman keterangan berjalan lancar dan polis juga memberi layanan
yang baik. Kita juga memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior
Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Jeff Ooi
itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan
kerana menyebut perkataan-perkataan dengan sengaja dengan niat melukakan
perasaan seseorang. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun atau
denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, sehingga kini, kira-kira lima laporan polis dibuat ke atas
Jeff Ooi termasuk dari Pas kerana memuat naik 'posting' dalam Twitternya
minggu lalu.
Jumaat lalu, Jeff Ooi didapati menulis 'Adios Harun Din. Let there be
peace' di Twitternya yang didakwa ditujukan kepada Mursyidul Am Pas,
Allahyarham Haron Din.
Sementara itu, Jeff Ooi enggan mengulas lanjut ketika diminta memberi komen berhubung penahanannya itu.
Beliau hanya menjawab 'no komen' sambil tersenyum ketika media cuba menemubualnya.
0 orang berkata:
Post a Comment