Pembangkang mampu gugat BN di Sabah
SHAH ALAM – Tindakan Naib Presiden PKR, Darrel Leiking yang mengumumkan
untuk keluar daripada PKR berkemungkinan disebabkan oleh beliau tidak
lagi mempercayai kepimpinan parti tersebut.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, selain itu, tindakan diambil oleh
Leiking tersebut adalah bertujuan bagi mencari platform baru khususnya
di bawah kepimpinan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie
Apdal melalui parti tempatan Sabah.
“Ini merupakan satu petanda bahawa parti tempatan tersebut juga bakal
mendapat sokongan daripada masyarakat Kadazandusun Murut (KDM),” katanya
ketika dihubungi Sinar Onlien hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Naib Presiden PKR umum keluar parti]
Semalam, Leiking mengumumkan meletak jawatan dan keluar PKR berkuat
kuasa serta-merta malah beliau turut memaklumkan bakal menyertai parti
tempatan Sabah yang akan diterajui Mohd Shafie.
Dalam pada itu, Jeniri berkata, sekiranya masyarakat KDM memberi
sokongan kepada parti pimpinan Mohd Shafie, ia mampu mengugat BN di
Sabah.
“Sekiranya masyarakat KDM ini berada di belakang Mohd Shafie, ia tentu akan memberi kesan kepada BN selepas ini,”katanya.
Selain itu, ketika ditanya sama ada pembangkang akan menjadi lebih kuat
selepas ini, Jeniri berkata, ia bergantung sekiranya mereka dapat
mengelakkan pertembungan antara satu sama lain di kerusi-kerusi yang
dipertandingkan.
Ujar beliau, faktor calon yang diyakini dan mendapat sokongan pastinya
dapat menjadi ramuan terbaik untuk menggugat Umno-BN dalam PRU akan
datang.
“Mereka boleh mengugat Umno-BN namun tidak akan dapat bersaing di peringkat negeri,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment