Isu tahap keberhutangan negara hanya salah faham
ALOR SETAR - Isu membabitkan tahap keberhutangan negara yang tinggi
yang sering dimomokkan sebagai petanda bahawa negara akan muflis
hanyalah salah faham ekonomi dan perlu diperbetulkan.
Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr
Noor Azlan Ghazali berkata, ini kerana antara indikator dilihat ketika
hendak membuat pinjaman ialah sama ada pinjaman tersebut bersifat
produktif atau sebaliknya dan keupayaan membayar balik.
"Pinjaman kerajaan misalnya sebanyak RM582 bilion pada 2014, tetapi itu
adalah stok pinjaman, namun bayaran hutang pada tahun tersebut hanya
sekitar RM20 bilion sahaja, itu bayaran, bukan stok. Malah ia bukannya
perlu dibayar dengan segera kerana mempunyai tempoh kematangan hutang,"
katanya.
Noor Azlan berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel
dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan
dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.
Malah jelasnya, Malaysia menyaksikan pembangunan pesat dicapai dengan
sebahagian besarnya dalam tahun-tahun ketika ekonomi negara berada dalam
keadaan defisit.
"Pertama sekali isu persepsi, istilah atau perkataaan hutang dalam nahu
bahasa kita dianggap konotasi negatif tetapi hakikatnya dalam kehidupan
seharian malah di peringkat individu pun semua mempunyai hutang.
"Tidak ada salahnya dengan defisit. Dalam bahasa ekonomi lebihan dan
defisit tidak boleh diterjemah secara terus, kononnya defisit bermakna
masalah, lebihan bermakna baik. Sama juga dengan hutang, cuma istilah
hutang dalam literasi Bahasa Melayu kita nampak takut," katanya.
Beliau menegaskan tahap pinjaman kepada pendapatan negara semata-mata
belum cukup untuk menterjemahkan bahawa sesuatu negara itu diurus dengan
baik ataupun tidak.
"Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi hutang, United
Kingdom misalnya pula berhutang 91 peratus dan Singapura sebanyak 105
peratus," katanya.
Noor Azlan berkata, menurut pengamatannya, defisit negara selalunya
akan melebar apabila berhadapan krisis ekonomi seperti pada tahun 1997
dan 2009 yang menyebabkan ekonomi negara menguncup.
"Apabila ekonomi menguncup maka sektor swasta dan pengguna tidak
berbelanja, jadi memang wajarlah kerajaan berbelanja dan dalam keadaan
itu defisit kita melebar dan ia bertepatan dengan keperluan.
"Yang penting ialah adakah defisit itu dikawal dan tahun demi tahun
kita lihat defisit fiskal kita semakin menurun, walaupun keadaan getir
beberapa tahun yang lalu, sasaran kita tetap dipertahankan dan tahun
hadapan sasaran kita 3 peratus daripada KDNK," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment