Pas konsisten tentang pelaksanaan GST
SHAH ALAM – Pas konsisten menentang pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) kerana ia mengakibatkan rakyat menanggung kos sara
hidup yang tinggi disebabkan peningkatan harga.
Ini kerana menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, GST
adalah cukai yang dikutip tanpa membezakan kemampuan kewangan seseorang
termasuk golongan miskin.
Jelasnya, pelaksanaan cukai tersebut bertentangan dengan prinsip Islam.
“Saya tidak setuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak selaku
Menteri Kewangan di Dewan Rakyat kelmarin yang mengatakan bahawa ekonomi
negara akan lumpuh tanpa GST.
“Selepas harga komoditi minyak dan nilai Ringgit mengalami kejatuhan,
keputusan yang dibuat Kerajaan untuk bergantung kepada hasil GST
menunjukkan kerajaan sendiri tidak kreatif dan inovatif dalam
menyelesaikan masalah dan cabaran ini,” katanya dalam kenyataan, hari
ini.
Menurutnya lagi, Pas menerusi Dokumen Hijau mencadangkan agar hasil
pendapatan negara ditampung dengan cukai atas simpanan syarikat dan
korporat, dan cukai atas keuntungan perdagangan saham bagi menampung
ekonomi negara.
Katanya lagi, pelaksanaan kedua-dua cukai ini dijangkakan akan
mendatangkan hasil pendapatan sebanyak RM51.5 bilion berbanding hanya
RM39 bilion dengan GST.
“Percukaian seperti ini dilihat lebih berkesan dan mampan untuk
menyelesaikan masalah kekurangan hasil pendapatan negara sekaligus dapat
merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
"Ia sepatutnya meningkatkan kemampuan perbelanjaan dan kekuatan modal
golongan B40 berbanding GST yang merupakan formula membebankan ekonomi
rakyat dan adalah mustahil ekonomi negara akan selamat dengan
melaksanakan apa yang diharamkan oleh ALLAH,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment