Pakar: Bajet 2017 baik untuk rakyat
SHAH ALAM - Bajet 2017 adalah untuk kesejahteraan rakyat melalui
beberapa peruntukkan yang mampu meringankan beban kerajaan. Tiada
kenaikan kadar peratusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sikit
sebanyak meredakan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam
Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, melalui Bajet 2017 ini,
rakyat boleh merancang kewangan untuk mendepani 2017, yang bakal
menjelma tidak lama lagi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2017 dibentang PM]
"Dengan keadaan ekonomi industri minyak yang tidak stabil, harga rumah
yang begitu tinggi serta isu kos sara hidup yang semakin meningkat,
Bajet 2017 dilihat memberi sedikit sokongan bantuan dan perlindungan
bagi mendepani 2017 yang dijangka lebih mencabar," katanya kepada Sinar
Harian.
Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan Bajet 2017 menjurus kepada usaha
meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan pelbagai kemudahan diberikan
seperti pinjaman perumahan dinaikkan dan sebagainya, tetapi jika
pendapatan di tahap lama, serta kos barang masih tinggi, susah untuk
rakyat menggunakan kemudahan yang disediakan.
Beliau berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika dilihat dari sudut
positif, ia akan menghasilkan natijah positif dan begitulah
sebaliknya.
Menurutnya, penerusan BR1M bagi mereka yang betul-betul layak menerima
adalah sesuatu yang amat baik kerana ia mengurangkan bebanan kewangan
mereka dan lebih penting BR1M perlulah dibelanjakan dengan cara
berhemah.
"Jika ini berjaya dilaksanakan, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi
setempat kerana wujudnya kuasa beli. Namun, jika disalah guna maka ia
sudah tersasar matlamat asal BRIM itu sendiri. Sebab itu saya
berpandangan, mereka yang mendapat BRIM perlu berbelanja secara berhemah
mengikut keutamaan keperluan keluarga," katanya.
Selain itu, diskaun 15 peratus ke atas baki hutang untuk penyelesaian
penuh ke atas Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah
sangat baik, malah lebih tinggi dari untung yang diberikan oleh ASB-i.
"Jadi saya seru kepada graduan bekerja rebutlah peluang ini kerana ia
sangat baik dan akan membantu mereka mengatur perancangan kewangan
dengan lebih baik di tahun depan," katanya.
Selain itu, sejumlah peruntukkan yang besar ke atas biasiswa akan
memberi motivasi kepada rakyat dan masa depan mereka terjamin.
"Ini usaha terbaik dalam memastikan rakyat mempunyai daya intelektual
yang tinggi kelak, seterusnya mampu memberi nilai tambah yang positif
kepada negara pada masa depan.
"Diharapkan dengan peruntukan itu ia memacu negara ke arah mencapai Tranformasi Nasional 2050," katanya.
Tambahnya, sebagai warga pengajar di institusi pendidikan awam (IPTA)
yang telah berkecimpung dengan dunia akademik lebih 15 tahun, peruntukan
RM100 juta untuk IPT bagi membudayakan penyelidikan serta meningkatkan
bilangan penerbitan dan harta intelek cukup dinanti-nantikan.
"Peruntukan sebanyak itu penting untuk IPT bagi memastikan kelangsungan
warga pensyarah agar sentiasa berusaha ke arah membudayakan
penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta
intelek,"katanya.
Selain itu katanya, RM300 juta untuk lima universiti yang bertaraf
universiti penyelidikan merupakan satu jumlah yang agak besar.
"Universiti-universiti tersebut perlu melipatgandakan usaha agar
pemerkasaan institusi masing-masing terserlah pada 2017. Misalnya,
memastikan kedudukan (rangking) terletak antara 10 universiti terbaik di
dunia melalui hasil penyelidikan dan penemuan baharu yang berjaya
dikomersilkan ke serata dunia," katanya.
Pengenalan kad debit kepada pelajar IPT bagi menggantikan baucar buku
adalah langkah berkesan mengelak berlaku ketirisan dalam kalangan
pelajar.
"Penggunaan kad debit ini dilihat amat baik kepada kerajaan kerana ia
telah menjimatkan kos untuk mencetak baucar berbentuk kupon.
"Ia juga membolehkan pihak kerajaan melalui institusi tertentu mengawal
selia penggunaan perbelanjaan pelajar terhadap sejumlah debit yang
diberikan agar objektif pemberian baucar melalui kad debit ini capai
sasaran," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment