Ahmad Husni akan dipecat dari Umno sebab 1MDB
IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yakin mantan
Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bakal dipecat
daripada Umno berikutan kenyataan yang ditimbulkan berhubung skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, ia dibuktikan dengan
pelbagai kritikan yang telah dibuat segelintir pimpinan tertinggi Umno
selepas persoalan itu diluahkan Ahmad Husni.
"Melihat keadaan hari ini, boleh saya katakan Umno telah hilang
pertimbangan. Sesiapa yang menentang arus pasti akan jadi mangsa.
"Saya tak terkejut kalau beliau dipecat sebab kita dapat lihat sudah
ada kritikan dibuat selepas persoalan itu ditimbulkan. Perkara lain
mungkin menyusul," katanya.
Sebelum ini, dalam perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta
kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan selain tindakan yang mungkin
dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mempersoalkan status bayaran yang
diterima kerajaan berkaitan penjualan 60 peratus kepentingan dalam
projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.
Menurut Hamidah, pihaknya juga tidak menolak akan ada pimpinan Umno
lain yang akan mempersoalkan tentang 1MDB sekiranya tiada sebarang
tindakan dilakukan lembaga disiplin parti terhadap Ahmad Husni.
"Sebabnya, kalau diam (tindakan disiplin) maknanya betullah apa yang
dipersoalkan Ahmad Husni dan dari situ akan ada lagi yang akan buka
mulut tentang 1MDB ini," katanya.
Selain itu, Hamidah berkata, skandal 1MDB yang diluahkan pelbagai pihak
pada ketika ini membuka mata semua golongan sekaligus mencalarkan
kredibiliti Umno selaku kerajaan memerintah.
"Kalau dulu mungkin ada yang kata 1MDB ini fitnah yang sengaja
ditohmahkan kepada kerajaan namun kita dapat lihat suasana itu telah
bertukar dan mata rakyat sudah luas terbuka," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment