Bersih 5: Tiga dipanggil polis
TELUK INTAN - Tiga individu termasuk Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu,
dipanggil pihak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak,
bagi memberi keterangan berkenaan insiden kekecohan semasa Konvoi Bersih
5, pada 1 dan 8 Oktober lalu.
Terence dalam satu kenyataan berkata, mereka dipanggil hadir ke IPD
Hilir Perak, pada 13 Oktober lalu untuk membantu siasatan pihak polis
berkenaan insiden tersebut.
"Selain saya, dua lagi individu yang dipanggil pihak polis adalah
Koordinator Bersih Teluk Intan, Anida Osman dan seorang peserta Bersih
5, Nor Azwan Ali.
"Kami tiba di sana pada jam 10.15 pagi dan diminta memberi kenyataan
berhubung kekecohan di Teluk Intan pada 1 Oktober dan di Jalan Changkat
Jong pada 8 Oktober, di mana peserta konvoi Bersih 5 dihalang oleh
peserta baju merah diketuai Datuk Jamal Md Yunos," katanya.
Menurut Terence, mereka diminta memberi keterangan bagi kes yang
disiasat di bawah Seksyen 341 iaitu Pengurungan Salah di mana jika sabit
kesalahan boleh dihukum penjara selama satu bulan atau denda RM2,000
atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan juga turut dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan
melibatkan kesalahan rusuhan yang boleh dihukum penjara dua tahun dan
denda atau kedua-duanya sekali.
"Kami dipanggil sebagai saksi dan saya berharap siasatan tersebut dijalankan dengan telus dan adil," katanya.
Terence turut memuji pasukan polis IPD Hilir Perak yang bertindak
profesional dalam insiden kekecohan Konvoi Bersih 5 yang dihalang baju
merah pada 8 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner, Wan
Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan IPD Hilir
Perak ada memanggil ketiga-tiga individu berkenaan pada 13 Oktober lalu.
0 orang berkata:
Post a Comment