Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

TANAH ADAT SARAWAK


Pembinaan empangan menceroboh tanah adat:
Angin perubahan di kawasan kaum asal, Kuching

Chen Shaua Fui | Apr 14, 2011 06:14:14 pm

 
Isu tanah adat yang semakin hangat di kalangan komuniti bumiputera Sarawak mungkin mengundang kemenangan untuk PKR di beberapa kawasan DUN.  Di DUN Bengoh, pembinaan empangan, pembalakan, pencabulan tanah adat, dan janji yang tidak ditunaikan ADUN asal, Jerip Susil, telah mencungkil ketidakpuasan pengundi - yang mungkin memberi laluan kepada PKR untuk menawan kawasan ini.
DUN Bengoh adalah kawasan yang agak besar, dengan jarak perjalanannya kira-kira sejam dari Kuching.  Jarak antara kampung dengan kampung juga berjauhan.  Sebagaimana pengamatan wartawan, papan iklan calon BN Jerip anak Susil di beberapa tempat telah dirosakkan, sama ada disimbah cat merah, mahupun dipatahkan tiang kayunya.
Seorang bekas pemimpin BN tempatan memberitahu MerdekaReview, Jerip Susil telah lapan tahun menyandang jawatan ADUN.  Namun, janji-janjinya kepada pengundi belum ditunaikan, lantaran peruntukan kerajaan yang tidak sampai-sampai lagi ke tangan.  Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan pengundi, dan mempertikaikan integritinya.  Janji-janji yang ditaburkan berlainan mengikut kampung, termasuk pembinaan jalan, bekalan air dan sebagainya.
Pembinaan empangan Bengoh
Setibanya wartawan di Kampung Bengoh, didapati pembinaan Empangan Bengoh telah dimulakan.  Orang luar dihalang untuk memasuki kawasan tersebut.
Pembinaan Empangan telah menyebabkan kira-kira 1,000 orang Bidayuh dari 394 keluarga dipaksa pindah ke tempat yang lain.  Kerajaan negeri Sarawak hanya menjanjikan tanah pampasan seluas tiga ekar, dengan kemudahan asas, namun gagal memenuhi kepuasan penduduk.
Penduduk Bidayuh yang akan dipindahkan ke kampung Semadang berasal dari Rejoi, Semban Teleg, Paing Bojong dan Taba Sait.  Kini, sebidang tanah di Semadang telah dibersihkan untuk kegunaan penempatan semula Empangan Bengoh.  Kebetulan wartawan sampai ke situ pada waktu hujan.  Sebaris bangunan baru yang dipercayai sebagai pejabat kontraktor telah disiapkan.  Kantin juga dibina bersebelahan dengannya.
Seorang Bidayuh yang berasal dari Kampung Bunuk memberitahu kepada MerdekaReview, penduduk Bidayuh di keempat-empat kampung tersebut membina rumah mereka dengan mengupah pekerja untuk membawa simen, batu-batan dari luar kampung.  Rumah bertingkat dua milikan mereka itu dibina dengan ketulan batu demi ketulan batu.  Namun, rumah mereka akhirnya ditumbangkan berikutan pembinaan empangan.  Mereka terpaksa dipindah ke Semadang, dengan rumah baru yang tidak begitu memuaskan.  Namun, apa yang pasti, mereka kehilangan tanah adat mereka.
Selain penduduk dari empat kampung tersebut, penduduk di Kampung Semadang juga tidak berpuas hati kerana menganggap tanah adat mereka diceroboh, apabila melihat tanah itu dibersihkan untuk penempatan penduduk dari kampung lain.  Malah, mereka perlu berkongsi tanah dan sumber mereka dengan penduduk kampung lain pada masa depan.
Menurut politik puak di Sarawak, setiap puak memiliki sempadan dan kawasan sendiri - perjanjian antara puak setelah peperangan turun-temurun sejak dahulu.  Satu puak dilarang memasuki sempadan puak yang lain.  Tidak sukar untuk dibayangkan bahawa mereka memerlukan masa untuk penyesuaian apabila berdepan dengan kemasukan puak asing.
Selain itu, kampung Krokong juga menghadapi masalah pembalakan dan pencerobohan tanah adat, dan kaum Bidayuh mungkin mengambil kesempatan untuk meluahkan ketidakpuasan mereka dalam PRN Sarawak 2011.
Seorang pemilik kedai runcit di Kampung Krokong memberitahu MerdekaReview, masalah pencerobohan tanah semakin ketara, terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini.  Rakyat mulai sedar, dan beliau juga meminjam tanah lapang di sebelah kedainya kepada PKR untuk menganjurkan ceramah.
Namun, apabila wartawan cuba menemuramah penduduk dalam kampung, mereka dilihat lebih berhati-hati, dan enggan mengulas panjang, sekadar memberitahu bahawa mereka akan melakukan apa yang harus pada hari pengundian.
Di samping itu, kilang simen pula mencemarkan kawasan di sekitar Kampung Mambong.  Kelihatan hutan telah digondolkan.  Wartawan dimaklumkan bahawa kilang ini bertapak di situ sejak tahun 1994, dan pekerja tempatan hanya mendapat gaji harian sebanyak RM15.  Tapi, penduduk di situ terpaksa bernafas dalam suasana debu yang berterbangan.
Isu agama menyentuh hati
Penganut agama di kawasan Bengoh terbahagi kepada Catholic, SIB, Anglican dan Methodist.  Bekas pemimpin BN tempatan tersebut agak tersentuh apabila isu Alkitab dibangkitkan.  Beliau menganggap kejadian penahanan Injil Bahasa Malaysia adalah tidak adil untuk penganut Kristian.
Wartawan cuba membangkitkan isu Alkitab untuk menguji sejauh manakah isu agama ini mempengaruhi penduduk tempatan.  Ada di kalangannya menyatakan ketidakpuasan mereka, namun apa yang lebih diambil berat adalah sama ada kehidupan mereka akan diperbaiki pada masa depan.
Terdapat 21,995 orang pengundi berdaftar di DUN Bengoh, terdiri daripada Bidayuh (66.24%), Cina (26.35%), Melanau (6.61%), Iban (0.1%) dan lain-lain (0.69%).  Kebanyakan Biadayuh adalah penganut kristian.
Pada PRN Sarawak 2006, Jerip Susil memperolehi 7,540 undi, menewaskan calon SNAP Mangan anak Ngandok (3,552 undi) dengan majoriti 3,988 undi.  Bagaimanapun, nisbah mengikut kaum pada ketika itu adalah 65.2% Bidayuh, 28.6% Cina, 5.5% Melanau dan 0.7% lain-lain.
Percakaran antara parti komponen BN
Apa yang menarik, terdapat empat orang calon di DUN Bengoh.  Calon SNAP, Richard @Peter A/L Margaret adalah bekas penolong Jerip Susil yang berbalah dengan Jerip sebelum ino.  Calon bebas Wejok ak Tomik adalah Setiausaha Pemuda PBB Bengoh pada asalnya, beliau bertanding kerana tidak berpuas hati dengan keputusan BN meletakkan Jerip Susil sebagai calon. 
Dalam satu kenyataan, Wejok mempertikaikan ahli parlimen Mambong, James Dawos Mamit dari PBB sebagai pengarah pilihan raya Bengoh.  Beliau mempersoalkan mengapa SUPP memerlukan bantuan PBB untuk berkempen.  Sebelum ini, ada desas-desus bahawa PBB mahu merampas kerusi ini dari SUPP, namun dinafikan James Dawos.  Percakaran sesama parti komponen BN mungkin menyebabkan Jerip kehilangan undi. 
Seperti biasa, BN akan melihat kawasan bumiputera sebagai kubunya.  Namun, kenyataan calon PKR Willie anak Mongin menyebut, angin perubahan telah bertiup kencang di kawasan Dayak.  Orang yang menghadiri ceramah Pakatan Rakyat semakin ramai beberapa hari ini, malah ada orang tempatan yang menghulurkan bantuan.
Faktor-faktor di atas tidak memihak kepada BN.  Namun, faktor penentu adalah peratusan pengundian dan keadaan penyogokan.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.