Bersih diadakan kerana perjalanan pilihan raya tidak adil! |
Posted on Friday, June 24 @ 01:20:51 PDT by tokdalang
KUALA LUMPUR: Bukti ketidaktelusan proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu menjadi faktor penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 kali kedua 9 Julai depan, menurut pengerusinya, Dato’ Ambiga Sreenevasan.
Himpunan Bersih 2.0 akan menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan Umno-BN bersabit desakan rakyat yang menuntut perlaksanaan pilihan raya yang lebih adil dan bersih.
Sehubungan dengan itu, Ambiga bertegas himpunan Bersih 2.0 akan tetap diteruskan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan.
“Ini bukan sebab saya. Perhimpunan ini adalah tentang rakyat dan saya tidak akan respon dengan serangan karektor. Walaupun anda serang saya, perhimpunan ini akan tetap diteruskan,” kata beliau ketika berucap di hadapan lebih dua ribu penyokong yang hadir di Dewan Perhimpunan Cina, 19 Jun lalu.
Ambiga kemudian dengan lantang menegaskan program anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu bukan mengenai desakan persendirian atau mana-mana parti politik tapi suara rakyat menuntut reformasi dalam pilihan raya.
“Kita cuba dialog termasuk berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tapi ini semua tidak cukup. Buktinya PRN Sarawak. Sebab itu kami rakyat akan lawan dan adalah hak kami untuk bertindak demikian,” tambanya lagi.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu dalam ucapannya turut menyebut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak mana- mana persatuan di negara ini untuk berhimpun secara aman. Katanya lagi, tiada pihak yang berhak untuk mencabuli perkara tersebut seraya memberi jaminan program itu nanti akan berlangsung secara aman dan bertangungjawab sepertimana perhimpunan Bersih pertama pada 2007.
“Kita sudah hantar dua jemputan kepada kerajaan dan pembangkang. Kami hendak taraf demokrasi di Malaysia dinaikkan itu yang kita mahu.
“Kami mahu beritahu polis tidak perlu khuatir kerana Bersih akan menjadi perhimpunan aman,” ujar beliau.
Justeru, Ambiga berpendirian program kali ini sebagai langkah positif yang harus diambil kerajaan di bawah penyeliaan SPR untuk menilai kelemahan sistem pilihan raya.
Tiga lokasi yang akan menjadi tempat perhimpunan dua minggu lagi termasuk pusat membeli-belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula jam 2 petang.
Sementara itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya semalam menyifatkan perhimpunan anjuran NGO itu kononnya bermotifkan politik untuk menanam kebencian rakyat kepada kerajaan Umno-BN.
Justeru, beliau menyalahkan gabungan pembangkang yang memberi sokongan terhadap gerakan rakyat itu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum itu turut bersikap tidak acuh dengan tuntutan gabungan NGO itu selain memberi pelbagai alasan berkait perlembagaan dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 kali ini termasuk, membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, pengunaan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, tempoh kempen 21 hari, pengukuhan institusi awam, penghapusan rasuah dan politik kotor.
0 orang berkata:
Post a Comment