BN Yang Jangan Ciplak Idea-Idea PR!! |
Posted on Friday, June 10 @ 23:01:02 PDT by paktam
Oleh Mohd Faris
Agak melucukan bila Najib meminta PAS jangan ‘ciplak’ model negara kebajikan BN. Kata Najib, PAS tidak perlu mengambil model kerajaan semasa iaitu BN, kerana negara berkebajikan sentiasa menjadi matlamat BN. Malah, kerajaan sentiasa berjuang ke arah negara berkebajikan.
Kita mahu bertanya Najib dan BN, jika sekadar memberi bukti dengan adanya institusi-institusi seperti Felcra, Felda, Bank Islam, dan Bank Rakyat menunjukkan negara mempertahankan konsep kebajikan rakyat, itu bukanlah suatu hujah yang tepat dan meyakinkan.
Sebagai pemerintah negara selama 53 tahun, BN sememangnya perlu menyediakan medium-medium untuk kepentingan rakyat, tanpa perlu mempersoalkannya, kerana ia mandat dari rakyat. Rakyat mahu hak dan kepentingan mereka dibela bukan dianiaya.
Bukannya rakyat memilih untuk diselewengkan harta negara dan wang rakyat. Bukan untuk menyalahguna dan memanipulasi dengan peluang yang diberi. Itu harapan rakyat kepada pemerintah yang diamanahkan sebagai pengendali dan pengurus tadbir aset sesebuah negara.
Sedangkan apa yang kita dapati, dasar-dasar yang dibuat BN, kebanyakannya gagal mencapai matlamat yang dicanangkan. Misalnya, DEB sendiri. Ekonomi orang melayu adakah meningkat setelah dilaksana sejak sekian lama, dengan peruntukan yang besar, tetapi dalam masa yang sama, berlaku ketirisan di sana sini ketika pengagihan projek?
Dasar pendidikan negara pula yang sering bertukar-tukar, bukan melibatkan kos sebanyak sepuluh atau seratus ringgit, bila mana dasar PPSMI dilaksanakan tanpa kajian menyeluruh, dan kemudiannya ditarik balik setelah mendapat desakan dan bantahan rakyat. Berjuta-juta atau mungkin berbilion ringgit. Projek buku-buku teks baru, janganlah dikejar keuntungan, sebaliknya utamakan soal pendidikan rakyat, generasi anak-anak pelapis masa depan kita.
Adakah rakyat menerima dasar ‘negara kebajikan’ BN yang membuatkan rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga barang, gula, minyak dan tarif elektrik? Kerajaan menarik subsidi dari rakyat, tetapi dalam masa yang sama meneruskan subsidi kepada kroni seperti IPP?? Cukuplah sebelum ini berlaku kenaikan 4 dalam 1, mahu ditambah lagi beban rakyat?
Dengan hasil Petronas bertambah, melalui Presiden dan pegawai eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas melaporkan untung perolehan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011 ini, meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion berbanding RM210.8 bilion sebelum ini, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak dunia, terus menaikkan harga minyak RON95 ke tahap tertinggi dalam sejarah negara.
Keuntungan pracukai Petronas meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion. Malah Petronas mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan.
“Harga yang lebih tinggi dan permintaan rancak menyebabkan prestasi yang lebih tinggi bagi semua perniagaan teras,” kata Naib Presiden Eksekutif Kewangan Petronas Datuk George Ratilal.
Amat janggal sekali apabila muka surat hadapan dalam akhbar perdana mempromosi negara Belarus yang menaikkan harga minyak, sedangkan Belarus bukanlah negara pengeluar minyak dunia seperti Malaysia untuk kita bandingkan, malah Belarus baru sahaja merdeka beberapa tahun, sedangkan kita sudah hampir 54 tahun merdeka.
Rakyat dipotong subsidi, namun dividen RM30 bilion dari Petronas untuk kerajaan, kerajaan buat apa dengan dividen sebanyak itu, jika tidak memberi kepada rakyat?? Sila jawab. Minyak pasaran dunia naik, sepatutnya negara pengeluar minyak yang dapat menambah pendapatan, tetapi rakyat yang semakin terbeban di Malaysia. Inikah negara kebajikan versi Najib dan BN?
Rakyat semakin tertekan dan sengsara di sebalik kemewahan pemimpin-pemimpin kerajaan dan kroni. Gaji dan pendapatan rakyat biasa sukar untuk naik, sedangkan kos sara hidup semakin meningkat dan meningkat. Kos perubatan dan pendidikan juga meningkat. Para peniaga dan pengguna juga telah menerima kesannya.
Saya bersetuju dengan pandangan Pensyarah Kanan Jabatan pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, baru-baru ini bila bercakap soal dasar negara dianggap gagal, bila kerajaan pinggir kebajikan rakyat.
Beliau memberikan contoh polisi ekonomi dan politik di negara Eropah yang lebih mengutamakan kebajikan rakyatnya, berbeza dengan Malaysia yang mempunyai sumber kekayaan yang banyak.
“Jika dibandingkan dengan sumber hasil bumi, Malaysia sebenarnya jauh lebih kaya dan berpotensi melebihi negara-negara berkenaan.
Justeru mana silapnya?
“Berbanding negara-negara di Eropah yang serius menjaga kebajikan rakyatnya, ia dibuktikan dengan dasar pendidikan percuma dan yuran murah melanjutkan pengajian di Universiti,” katanya.
“Walhal dengan takrif menuju negara maju, sepatutnya Malaysia telah lama menyelesaikan masalah ini. Takrif negara maju ialah kebajikan yang tak harus menjadi beban. Subsidi adalah kebajikan. Negara maju adalah negara mengutamakan kebajikan rakyatnya,” tegas Abu Hassan lagi.
Bila Najib mengatakan PAS jangan meniru BN dalam soal negara kebajikan, BN ibarat meludah ke langit. BN secara jelas meniru idea-idea dan agenda Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat (PR), contohnya BN menghapuskan kutipan tol di tempat-tempat tertentu, sedangkan sebelum itu mengatakan perkara tersebut sesuatu yang mustahil dilaksanakan.
Gagasan idea gaji guru dinaikkan, seperti mana janji PR dalam Buku Jingga juga menggusarkan BN bila mana BN turut memberi elaun kepada guru-guru selepas fasa Buku Jingga dilancarkan. Guru-guru mula ‘dipandang’ mereka walaupun setakat ini, ianya masih belum dinikmati semua golongan berstatus guru.
Itu belum lagi difikirkan bagaimana usaha BN menggunakan slogan ‘rakyat didahulukan’ setelah melihat PR yang konsisten memperjuang kepentingan rakyat, dan dilihat lebih sinonim dengan nama ‘Pakatan Rakyat’ itu sendiri. Lebih awal dari itu, Agenda Ekonomi Baru (AEB) oleh PR juga diubahsuai menjadi Model Ekonomi Baru (MEB) bagi BN.
Skim Kafalah yang dilaksanakan oleh negeri diperintah PAS, iaitu di Kelantan dan Kedah, sudah ditiru BN dengan diberi nama yang lain. Pemberian geran tanah kepada rakyat sama ada melayu atau cina oleh Pakatan Rakyat dipimpin PAS di Perak suatu ketika, juga ditiru oleh BN Perak setelah ‘merampas’ kerajaan negeri. Begitu juga konsep Ladang Rakyat oleh kerajaan Kelantan, dikhabarkan juga sudah mula dihidu dan ditiru oleh BN.
Apa yang penting, rakyat terasakah BN ini mengutamakan rakyat dan berkebajikan sepeti yang dibanggakan Najib? Segala cukai dan hasil dari rakyat, sememangnya untuk rakyat, bukan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja. Fikirkanlah bagaimana kehidupan keluarga dan anak-anak, rakyat biasa yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!
Kami sebagai bukanlah seperti mana Khir Toyo yang mampu membayar tunai RM6.5 juta untuk pengubahsuaian rumahnya sahaja. Kami tidak mengharapkan seorang PM dan TPM yang menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk kos ubahsuai kediaman rasmi mereka semata-mata, sedangkan subsidi untuk rakyat terhakis!
Rakyat sudah ubah gaya hidup, tetapi pemimpin negara bagaimana? Rakyat menunggu untuk ubah kerajaan pula. Rakyat sudah muak dengan retorik dan hipokrit dari kerajaan pimpinan yang mencanangkan di papan-papan tanda projek pembangunan, ‘Ini Projek Kerajaan Barisan Nasional’, sedangkan ianya dari rakyat dan untuk rakyat!
0 orang berkata:
Post a Comment