UMNO Jadikan SPNB Lubuk Duit
Dari Keadilan DailY
Campur tangan politik Umno dalam pengurusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menjadikannya pusat membuat keuntungan untuk parti itu, kata Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, SPNB yang diwujudkan pada awalnya untuk menyediakan rumah mampu milik kian tidak relevan apabila peranannya umpama pemaju swasta lain.
“Campur tangan politik dalam pengurusan syarikat tersebut menjadikan SPNB sebagai pusat membuat keuntungan oleh pemimpin Umno. Kerajaan Umno BN mungkin baru tersedar dengan krisis perumahan. Namun malangnya, kekal gagal memahami intipati permasalahan ini.
“Skim Rumah Pertama yang ditawarkan hanyalah memberi kelonggaran kepada orang muda meminjam tetapi gagal menangani masalah sebenar iaitu ketiadaan rumah pada harga berpatutan,” katanya dalam Wacana Ekonomi Visi Perumahan Rakyat di Lobi Menara Majlis Perbandaran Selayang hari ini.
Anwar menegaskan kerajaan seharusnya berperanan aktif memberi imbangan kepada pasaran perumahan yang dikuasai pemaju.
“Kerana itu Pakatan Rakyat dengan jelas di dalam Buku Jingga mencadangkan Perbadanan Perumahan Negara yang bertanggungjawab membina dan mengawal selia penawaran rumah pada harga yang sesuai untuk rakyat,” katanya yang juga bekas menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau turut memberitahu, beberapa projek perumahan terbengkalai peninggalan Umno BN di Selangor berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat termasuk isu perumahan di Bukit Botak bernilai RM79 juta dan Alam Perdana, RM120 juta.
“Penduduk di Bukit Botak turut diberikan pilihan membeli rumah yang dibina semula pada harga diskaun RM99,000 berbanding harga sebenar RM170,000.
“Ketelusan pentadbiran Kerajaan Selangor dengan pendekatan bersepadu semua pihak dari semasa ke semasa membolehkan lebih banyak projek terbengkalai akan diselamatkan,” katanya.
Bagi menangani masalah harga rumah terlalu tinggi katanya, kerajaan Selangor melancarkan Rumah Mampu Milik dengan lebih 2,000 unit akan dibina di pelbagai lokasi di negeri itu.
“Perbadanan Kemajuan Ekonomi Selangor (PKNS) dan beberapa pemaju swasta dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini dengan keutamaan dikhaskan kepada pembeli berumur 35 tahun dan ke bawah,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment