BN: ‘Guan Eng bentang bajet PRU13’
Dr Hilmi menunjukkan naskhah ucapan Bajet 2013 Negeri Pulau Pinang disifatkannya sebagai bajet pilihan raya.
 
GEORGETOWN - Kalau sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) menganggap Bajet 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bajet pilihan raya, ia tidak ada beza dengan bajet Pulau Pinang yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hari ini.

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) yang kini menjalankan tugas Ketua Pembangkang berkata, Bajet 2013 Negeri Pulau Pinang juga boleh dianggap bajet pilihan raya kerana memberi pelbagai goodies kepada rakyat.

Beliau berkata, pelbagai habuan yang akan diberikan kepada rakyat Pulau Pinang menunjukkan bahawa PR juga cuba mengambil hati rakyat negeri ini dengan janji manis dan gula-gula pilihan raya.

"Jadi janganlah menuduh BN cuba membeli atau mengambil hati pengundi tetapi PR pun sama juga. Cakap orang, dia yang lebih.

"BN memberi pelbagai kemudahan kepada orang ramai sebagai memenuhi tanggungjawabnya sebagai kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat. Sebab itu kita tengok banyak benda yang dapat dinikmati rakyat dalam bajet negara," katanya pada sidang media hari ini.
 
Menurutnya, bajet yang dibentangkan Guan Eng tidak banyak perkara baru sebaliknya benda lama yang sudah dilakukan oleh BN sebelum ini tetapi hanya diberi nafas atau permukaan baru.
Tiada apa yang boleh dibanggakan walaupun peruntukan melebihi RM1 bilion disediakan untuk tahun depan," katanya.

Hilmi berkata, kenyataan Guan Eng mengenai sifar miskin di Pulau Pinang juga agak   mengelirukan kerana bercanggah dengan maklumat sebelum ini.

"Dulu Guan Eng kata Pulau Pinang capai sifar miskin pada 2009 dan kini kata tahun depan baru boleh capai sasaran itu. Yang mana satu betul.

"Kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan juga agak lucu kerana hanya membuat tambah nilai (top up) kepada jumlah tertentu agar mencapai tahap bebas kemiskinan.

"Adakah dengan menetapkan RM700 sebagai kadar melebihi paras kemiskinan dan memberi top up jika pendapatan penduduk seseorang itu kurang dari jumlah itu akan menjamin mereka bebas dari kemiskinan? katanya.

Menurutnya, kaedah itu menunjukkan Kerajaan Negeri menggalakkan penduduk miskin bergantung harapan kepadanya sepanjang masa kerana mendapat bantuan berterusan.

Diminta mengulas cadangan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan sendiri pelan induk pembangunan Pulau Pinang jika tidak mendapat maklum balas dari Kerajaan Pusat sehingga hujung tahun ini, Dr Hilmi berkata Guan Eng perlu berbincang dengan Putrajaya dan bukan dengan cara mengugut.

"Setiap perkara atau masalah boleh diselesaikan melalui perbicangan. Jangan guna tekanan atau ugutan untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya yakin oa boleh diselesaikan jika Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan yang betul," katanya.