Usia bersara swasta: Bekas Presiden MTUC kecewa
8 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan umur persaraan sektor
swasta kepada 60 tahun mulai 1 Julai 2013 adalah terlalu lambat dan
kementerian berkaitan dilihat terlalu berlembut dengan tuntutan majikan,
kata bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri
Zainal Rampak.
Beliau berkata, sikap terlalu bertolak ansur Kementerian Sumber Manusia
yang membenarkan majikan swasta memohon penangguhan sebelum 28 Feb 2013
adalah satu tindakan yang mengecewakan.
"Kenapa kementerian melengah-lengahkan pelaksanaan umur persaraan ini,
golongan pekerja swasta harus diberi penghargaan untuk tempoh
perkhidmatan mereka yang lama.
"Pekerja swasta juga adalah aset kepada sebuah organisasi kerana
mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kerjaya mereka," katanya
kepada Bernama ketika mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk
Seri Dr S. Subramaniam semalam bahawa keputusan itu dibuat selepas
perbincangan tiga hala bersama wakil majikan, pekerja dan pelbagai
agensi kerajaan berkaitan.
Zainal berkata, jangka hayat dan tahap kesihatan warga Malaysia
sekarang adalah lebih baik berbanding dahulu dengan lelaki mencapai usia
78 tahun dan wanita sehingga 75 tahun.
Akta Umur Persaraan Minimum 2012 menetapkan umur persaraan minimum
pekerja sektor swasta ialah 60 tahun, dan majikan tidak boleh memaksa
pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.
Pada masa sama, akta itu tidak menghalang seseorang pekerja memilih
untuk bersara awal, berdasar apa yang termaktub dalam kontrak
perkhidmatan atau perjanjian bersama (CA).
Akta itu diluluskan Parlimen 17 Julai lepas dan diwarta pada 16 Ogos tahun ini.
Zainal, yang kini Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja
Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) berkata, pekerja swasta adalah
'wira tak didendang' dan perlu diberi penghargaan oleh kerajaan dengan
mengiktiraf kesetiaan serta perkhidmatan mereka seperti amalan di Jepun
dan Korea Selatan.
Beliau juga berkata, kebanjiran pekerja warga asing diakui membantu
merancakkan pembangunan negara namun gaji mereka akan mengalir ke luar
negara.
Justeru, katanya, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap
kebajikan pekerja swasta serta tidak mengutamakan kemasukan warga asing
manakala majikan swasta tidak harus memberi alasan gaji mereka lebih
murah selain prosedur pekerjaannya lebih mudah kerana tidak perlu
mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan
Keselamatan Sosial (Perkeso). - Bernama
1 orang berkata:
bagi akui depa ni kerja takat 56 tahun pun dah lebih. kebanyakkan puak2 ni bukan buat kerja sangat, jadi peluang anak muda kerja pun tak dak, tak percaya pi jabatan kerajaan macam jkr ka jps ka majlis daerah ka kebanyakan ada kedai kopi dok gebang, puak muda pun ada lagu tu tapi kalau yang tua tunjuk teladan depa ikut la......
Post a Comment