Bandar Kuantan dilanda banjir kilat
24 Disember 2012
Kelihatan air
melimpahi jalan dan menenggelamkan beberapa buah kereta selepas banjir
di bandar Kuantan , hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN - Beberapa kawasan di sekitar bandar Kuantan hari ini dilanda
banjir kilat ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak malam semalam.
Kejadian itu juga menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar
mengalami kesesakan lalu lintas setelah jalan raya dinaiki air sedalam
1.5 meter.
Antara jalan yang ditenggelami air setakat pukul 3 petang ini ialah
Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe
Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih,
Jalan Pasar dan Terminal Makmur.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan sekitar pusat bandar mendapati
banyak kenderaan yang terkandas di jalan raya dan beberapa premis serta
pusat beli-belah utama terpaksa menutup perniagaan akibat situasi yang
tidak terduga itu.
Di kawasan Air Putih dan Semambu, orang ramai mula meninggalkan rumah
masing-masing seawal pukul 10 pagi dan menyelamatkan barangan keperluan
utama setelah paras air sebatang anak sungai di sini melimpah dan naik
sehingga 1 meter.
Tinjauan juga mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Sungai Isap,
Taman LKNP, Bukit Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters dan Taman
Teratai turut ditenggelami air antara 0.1 meter dan satu meter.
Sementara itu di Jerantut, polis menasihati 10,000 penduduk yang
tinggal di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang
di daerah itu supaya berpindah segera jika paras air kedua-dua sungai
naik.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata keadaan cuaca yang
tidak menentu dengan hujan setiap petang sejak tiga hari lalu boleh
menyebabkan air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang naik bila-bila masa.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau turut menasihati 50 pengusaha
bot pelancong ke Taman Negara supaya menghentikan segera perkhidmatan
jika paras air Sungai Tembeling naik.
Ini, katanya sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi mengutamakan keselamatan penumpang.- Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment