24 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Penduduk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan
Pahang dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran
hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi
Malaysia (JMM) hari ini.
Menurut JMM hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa jajahan
di Kelantan seperti, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan
Pasir Puteh serta di beberapa daerah di Terengganu seperti Besut, Setiu,
Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, dijangka
berterusan sehingga esok.
Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, kata JMM dalam kenyataan di sini.
Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di Kuantan, Pekan dan Rompin di
Pahang juga dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan keadaan itu akan
menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.
Dalam pada itu, JMM turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat
kuning di beberapa kawasan di Pahang seperti daerah Jerantut, Maran dan
Bera serta beberapa daerah di Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi yang
dijangka akan mengalami hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana
sehingga Rabu ini.
Keadaan itu juga boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut kenyataan itu.
Portal JMM pula menyatakan beberapa kawasan di Kedah, Melaka, Negeri
Sembilan, Pulau Pinang, Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan
dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang manakala hujan
sementara dijangka berlaku di Kudat dan Tawau, Sabah.
Amaran peringkat kuning ialah kemungkinan berlaku luruan monsun dalam
tempoh 24-48 jam, amaran peringkat jingga ialah hujan monsun sederhana
yang berlaku untuk beberapa jam dan amaran peringkat merah pula ialah
hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam
beberapa jam. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment