Pemuda Pas: Muhyiddin wajar cermin diri
23 Disember 2012
DEWAN Pemuda Pas Negeri Kelantan menyelar kenyataan
yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin
yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai
‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong
Umno adalah mungkar. Kenyataan Muhyiddin tersebut disiarkan oleh
beberapa akhbar termasuk Berita Harian dan Sinar Harian hari ini 23 Disember 2012.
Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini
sebagai satu kenyataan yang melampau dan tidak berasas. Ia dihamburkan
semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang
dilontarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu.
Apa yang patut difahami oleh Muhyiddin ialah kenyataan Nik Abdul Aziz
bermaksud perjuangan Umno yang berterusan menentang Pas khususnya di
Kelantan dan berusaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang jelas
melaksanakan dasar-dasar pentadbiran Islam adalah satu perbuatan yang
mungkar. Ini kerana jika Pas diganti dengan Umno di Kelantan, sudah
pasti dasar-dasar mesra syariat yang diperkenalkan di Kelantan akan
dirombak semula dan Kelantan akan kembali ditadbir sebagaimana
negeri-negeri lain di bawah pentadbiran Umno/Barisan Nasional.
Ini belum mengambil kira budaya rasuah dan pecah amanah yang sudah
mendarah daging di dalam perjuangan Umno. Justeru, meletakkan parti
sebegini sebagai pemerintah adalah merugikan negara dan jelas merupakan
perkara mungkar.
Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menyeru Muhyiddin agar bercermin diri
terlebih dahulu sebelum melabelkan pihak lain sebagai celupar. Dewan
Pemuda Pas Negeri Kelantan ingin mengingatkan Muhyiddin keceluparannya
sendiri ketika berkempen di pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22
Januari 2011 yang memberikan amaran kepada MCA tentang ‘negara Islam
yang menjadi matlamat Pas’. Bahkan Muhyiddin menyokong tindakan MCA yang
memainkan isu negara Islam atas asas ‘untuk mengingatkan masyarakat
Cina’. Kenyataannya ini direkodkan sendiri oleh Jabatan Penerangan
Malaysia dan jika Muhyiddin lupa, beliau boleh merujuk kepada pautan
berikut:
(http://eakhbar.penerangan.gov.my/eakhbar/berita/cetakberita.php?idk=346444).
Untuk lebih jelas, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menukilkan kembali
sebahagian daripada petikan yang terdapat di dalam kenyataan penuh
beliau, “Since years ago, Pas has never said it will amend the party
constitution, the establishment of an Islamic State is still there..”
(Sejak dulu, Pas tidak pernah berkata ia akan meminda perlembagaan
parti, cita-cita untuk menubuhkan Negara Islam tetap masih ada..")
Apakah matlamat daripada kenyataan Muhyiddin di hadapan pemimpin MCA
ini jika tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang
negara Islam? Dalam masa yang sama, Muhyiddin di ucapan pembukaaan
Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umnp yang lalu melabelkan Pas
sebagai ‘Lebai Malang’ kerana kononnya terpaksa menggadaikan prinsip
negara Islam. Inilah lidah bercabang yang dimiliki oleh Muhyiddin yang
wajib diketahui oleh orang Melayu Islam keseluruhannya. Sifat hipokrit
inilah yang menjadi senjata Umno sekian lama untuk meraih sokongan
orang-orang Melayu.
Merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am Pas yang menyebut perkataan
‘mungkar’ dan didakwa oleh Muhyiddin sebagai fatwa, bagaimana pula
dengan kenyataan ulama muktabar Umno di Kelantan, Abdullah Saamah yang
mengeluarkan fatwa bahawa berdosa menyokong Pas? Kenyataan ini disiarkan
oleh Utusan Malaysia pada 21 Februari 2012. Ini belum mengambil kira
kenyataan Menteri Besar Terengganu yang melabel Pas sebagai ‘parti
ajaran sesat’. Tidakkah ini juga boleh disebut sebagai ‘fatwa’ pemimpin
Barisan Nasional?
Justeru, dalam hal ini Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menyeru
Muhyiddin sekali lagi agar berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan
kata-kata. Perlu diingatkan bahawa sejarah politik Malaysia menyaksikan
tidak semestinya seorang Timbalan Perdana Menteri akan menjadi Perdana
Menteri. Cita-cita Muhyiddin barangkali tinggi melangit, tetapi nasib
jatuh bangun kerajaan Barisan Nasional masih belum diketahui.
* Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan
0 orang berkata:
Post a Comment