Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Amerika Syarikat sedang berbincang untuk menubuhkan sebuah pusat perubatan di Afghanistan berikutan permohonan daripada negara itu.
   
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibangkitkan dalam perjumpaan beliau dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Leon Panetta baru-baru ini.
   
"Saya telah bincang dengan Leon Panetta, beliau akan mengusahakan sendiri dengan pihak AS atau pihak lain untuk bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM)(untuk membangunkan kemudahan perubatan di Afghanistan)," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
   
Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut, sambil menarik perhatian Malaysia sebelum ini pernah menghantar beberapa pasukan perubatan ke Afghanistan yang beroperasi di khemah-khemah sementara.


Jelas beliau, usaha sekarang ialah ke arah menubuhkan pusat perubatan di bangunan kekal yang operasinya mirip hospital daerah.
   
Ahmad Zahid berkata sebuah negara Timur Tengah turut berminat bekerjasama dengan Malaysia untuk memenuhi permohonan Afghanistan itu.
   
Beliau berkata langkah terbaharu ATM menghantar pasukan perubatan 26 anggota yang rata-rata terdiri daripada wanita turut disambut baik masyarakat di sana.
   
"Rakyat Afghanistan terutama wanita mengharapkan ada pasukan perubatan terdiri daripada kalangan wanita juga, jadi ATM telah mengambil pendekatan itu yang mungkin akan diikuti negara lain," katanya.
   
Mengenai cadangan mendapatkan pesawat tempur baharu bagi menggantikan pesawat MiG-29, Ahmad Zahid berkata satu penilaian telah dibuat mengenai perkara itu dan ia akan dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan.
   
"Lima pengeluar pesawat tempur pelbagai peranan telah dikenal pasti dan satu keputusan muktamad akan dibuat nanti," tambahnya. - Bernama