Menjelang PRU 13


Menjelang PRU 13
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyatakan isu menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berasingan tidak berbangkit lagi kerana masa semakin suntuk untuk berbuat demikian.


Bagaimanapun kepimpinan PR mengakui cadangan dibuat Ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim agar kedua-dua perikatan itu dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan bagi menetapkan tarikh PRU13 serentak satu perkembangan baik demi memperkukuh sistem pilihan raya di Malaysia.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali berkata, tarikh bagi PRU13 tidak menjadi perkara berbangkit lagi disebabkan faktor kekangan waktu.


Beliau berkata, jadi PR tidak memikirkan untuk mengadakan PRU13 secara berasingan jika Kerajaan Pusat memutuskan untuk membubarkan Parlimen lebih awal.



"Sekarang ini sudah tidak bangkit isu tarikh pilihan raya berasingan.



"Masa pun sudah suntuk, PRU13 tentu tahun hadapan, lagi pun sekarang sudah bulan Disember.



"Kita pun tak punya masa hendak buat berasingan, ikut sajalah PRU tahun hadapan," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.



Zahrain mencadangkan BN dan PR berbincang bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU13 secara serentak demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat.



Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian Online akhir bulan lalu, Zahrain, Ahli Parlimen Bayan Baru, berkata, daripada menuding jari atau menyalahkan satu sama lain adalah lebih baik pimpinan BN dan PR membincangkan satu tarikh serentak yang sesuai



Katanya, perlu ada kesepakatan pimpinan BN dan PR dalam menentukan tarikh yang sesuai mengadakan PRU13.



Jelas beliau, pendirian itu boleh dicapai menerusi perbincangan dan perundingan oleh kepimpinan BN dan PR.



"Pakatan boleh mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak)... dari tuding BN tidak mahu mengadakan PRU serentak, dan mereka kata tidak akan ikut (tarikh pembubaran) jika Datuk Seri membubarkan Parlimen lebih awal.



"Jadi, saya rasa kedua-dua pihak boleh berbincang satu tarikh yang sesuai... ini boleh dibincang," kata beliau.



Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pembangkang menyambut baik cadang itu dan bersedia mengadakan perundingan dengan pihak BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh tetap PRU.



Beliau berkata, perundingan itu boleh dibuat berdasarkan kehendak rakyat dan tarikh pilihan raya tidak perlu dirahsiakan lagi.



"Perdana Menteri perlu umum dengan segera (tarikh pilihan raya), saya telah tunggu lebih dua tahun.



"Seperti di negara maju, tarikh pilihan raya telah ditetapkan, jadi bagus SPR dan parti-parti politik negara berbincang untuk tetapkan tarikh PRU berdasarkan kehendak rakyat.



"Tarikh pilihan raya tidak perlu dirahsiakan demi kepentingan rakyat, dan PR bersedia untuk berunding dengan BN dan pihak berwajib (SPR)," katanya.

Muhammad ketika ditanya sama ada PR akan mengikut tarikh PRU Kerajaan Pusat, beliau dengan tegas mempertahankan prinsip yang telah diputuskan parti sebelum ini.
"Kita tidak akan ikut rentak tari Perdana Menteri, ini politik, kita ada pendirian," katanya.
Sehubungan itu, DAP turut mengeluarkan kenyataan senada dengan PKR yang mengatakan cara perundingan untuk menetapkan tarikh PRU adalah langkah yang baik.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, cadangan itu adalah baik di samping menunjukkan perkembangan politik matang di negara.
Pua berkata, tarikh PRU yang telah ditetapkan dapat membantu rakyat melakukan perancangan aktiviti harian dan membuat persedian bagi menghadapi pilihan raya.
Bagaimanapun beliau juga mengakui bahawa tarikh PRU13 telah menjadi perkara akademik dan sudah terlalu lewat untuk dibuat berasingan.
"Kita sudah tahu PRU13 akan dipanggil pada bulan Mac atau April.


"Bukan musim monsun bulan Disember dan dalam perayaan Tahun Baru Cina.

"Jadi PRU13 secara berasingan tidak lagi menjadi isu, kita pun sudah tahu bila akan dipanggil," katanya.