Mohd Tap Salleh - Wacana 16
Mohd Tap Salleh menyampaikan hujahnya pada Wacana Sinar Harian, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki 
 
SHAH ALAM - Suasana politik di negara ini termasuk budaya politik samseng yang semakin menular menyebabkan rakyat Malaysia  semakin "muak dan jelek" untuk mengambil peduli hal politik negara, kata Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Buktinya, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh institusi berkenaan, tiga hingga empat juta generasi muda pada hari ini enggan mendaftarkan diri sebagai pemilih ekoran senario politik tidak matang yang berlaku pada hari ini, ujar Mohd Tap.


"(Seramai) 35 peratus mengatakan (muak), bukan hanya orang Umno, orang yang menyokong Pas, dan orang yang menyokong DAP juga memandangkan arena politik kita ini tidak menyumbang kepada pembangunan negara.


"Hanya bertelingkah, sibuk hendak mendapatkan kuasa sahaja," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-16 berjudul "Budaya Politik Samseng Di Mana Maruah Kita".


Wacana kali ini turut membariskan panelis terkemuka seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-undang Pas, Hanipa Maidin.


Sementara Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya bertindak sebagai moderator.


Mengulas lanjut, Mohd Tap berkata, rata-rata responden yang ditemui dalam kajian yang dilakukan oleh institusi terbabit mengharapkan agar budaya politik di negara ini dapat diubah.


"Pandangan saya dan masyarakat pada 2010, mereka mengatakan tidak adakah satu sistem politik yang baru yang boleh membangunkan negara kita?" katanya.


Mohd Tap sebelum itu memberi contoh salah satu cerminan budaya politik samseng yang berlaku di negara ini.


"Saya mulakan apabila YB Kamalanathan menyebut salam 1 Malaysia tadi. Saya lihat sebilangan daripada kita seperti tercekik tulang.


"Ini adalah manifestasi politik samseng pada saya. Tidak boleh dengar apatah lagi kata-kata dia. Kita tidak boleh menerima perbezaan orang lain," tegas Tap.


Dalam perkembangan terbaru, pertembungan program ceramah Merdeka Rakyat oleh Pakatan Rakyat dan Taklimat Pilihan Raya Batu 9 Gombak oleh BN hingga menyebabkan pergaduhan ekoran provokasi kedua-dua belah pihak.


Dalam insiden itu, kedua-dua penyokong, pembangkang dan kerajaan mengalami kecederaan.