19 November, 2013
Rafizi Dedah Kejahatan Terbaru BN
Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, kerajaan Barisan
Nasional (BN) menaikkan pula harga minyak dan kini akan menghadkan
jangka hayat kereta kepada 12 tahun sahaja.
"Ini akan menindas keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta
menutup banyak perniagaan kereta terpakai," dakwa Rafizi Ramli (gambar),
ahli Parlimen Pandan.
Lebih membimbangkan, kata Rafizi, apabila Abdul Aziz turut dilaporkan
sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan
“perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.
Bagi beliau, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan
memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia.Ini kerana, kebanyakan pembeli
kereta daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat
pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang.
"Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun
keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli
kereta.
"Keadaannya lebih parah bagi pembeli daripada keluarga berpendapatan
rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah
pun berusia," kata Rafizi, Pengarah Strategi PKR dalam kenyataannya.
Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta katanya, pelaksanaan had
jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi
undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum
dilangsaikan.
Bagi beliau, cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah
rentetan daripada tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak BN menang
(dengan tipu helah) dalam PRU13.
Menurut Rafizi, pakar strategi daripada PKR itu, masalah utama bersabit
pemilikan kereta di Malaysia pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di
dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga
naik melambung.
"Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang
digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan
harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang
kereta yang terlalu tinggi.
"Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada
syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di
sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi
berbanding di negara lain.
"Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais
adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap
kereta yang dibeli juga tidak telus,"katanya.
Akibatnya, dakwa beliau, harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi
antara yang tertinggi di dunia.Oleh itu kata beliau lagi, Datuk Seri
Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif PKR telah
menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang
mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang
melampaui batas itu.
Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga
tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di
negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca daripada tindakan
mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.
Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan
sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan
harga kereta supaya setanding dengan negara lain bagi model yang sama,
katanya.
"Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta
sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan."Dasar had
jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di
Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain," tegas
beliau. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment