21/11/13
Mat Sabu tidak dapat hadir Muktamar PAS esok
Mohammad Sabu kecewa kerana Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuannya untuk menangguhkan perbicaraan
berhubung kes saman fitnah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga
menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri Muktamar PAS ke-59 yang akan
dirasmikan di Shah Alam esok.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, seharusnya mahkamah bertimbang rasa
kerana kedudukan beliau sebagai orang nombor dua parti Islam itu dan
muktamar yang hanya diadakan setahun sekali.
"Saya tidak berani kata ada unsur sabotaj atau tidak kerana ia
melibatkan keputusan mahkamah.“Namun saya kecewa kerana mahkamah
langsung tidak mempertimbangkan rayuan tersebut,” katanya ketika
dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.
Bagaimanapun, Mohammad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan tetap
menghadiri muktamar itu sebaik sahaja perbicaraan tersebut selesai.
Menurut Mohamad, keputusan mahkamah itu menyebabkan peguamnya Mohamed
Hanipa Maidin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS tidak dapat hadir ke
muktamar.
Pada 5 Mac lepas, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar
memfailkan saman fitnah terhadap artikel di akhbar milik PAS Harakah.
Wan Ahamd menamakan lima defendan dalam samannya termasuk Mohamad.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Wan Ahmad mendakwa Mohamad mengeluarkan
kata-kata fitnah di dalam artikel 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan
'Ragu Peranan SPR – Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' yang telah
dilapor dan diterbitkan akhbar Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas
ditemuramah oleh penulis artikel itu pada 29 Januari lepas.
Wan Ahmad berkata reputasinya terjejas selain menuduh kesemua defendan
dengan sengaja menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat
terhadapnya sebagai Timbalan Presiden SPR.
Mohamad akan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PAS dan
akan dicabar oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah.
Muktamar PAS ke-59 itu akan bermula secara rasminya esok. - TMI


0 orang berkata:
Post a Comment