Pas dakwa Mukhriz 'lembab'
YAN- Kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Mukhriz
Mahathir didakwa lambat menguruskan kes-kes berkaitan pembangunan tanah
di negeri ini.
Pengarah Operasi Pas bagi PRK Dun Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin
Hamzah berkata, perkara itu melibatkan 400 fail kes pembangunan tanah
yang masih belum diproses dan diberi kelulusan oleh Majlis Kerajaan
Negeri selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan PR pada
PRU13 lalu.
Beliau berkata, permasalahan ini sudah tentu akan memberikan kesan yang
besar kepada rakyat, contohnya melibatkan ubah syarat tanah dan sudah
pasti akan membuatkan projek perumahan di negeri ini berjalan lambat.
“Apabila ia lambat diproses, maka pemaju akan menghadapi kos yang
tinggi kerana terpaksa meminjam daripada bank dan dalam jangka masa
untuk mendapatkan kelulusan itu, pemaju kena bayar kepada bank atas
kadar pinjaman yang telah dibuat.
“Jadi ia telah terbeban di situ. Bila terbeban, maka sudah tentu
bebannya itu akan dipindahkan kepada pengguna. Maknanya harga rumah akan
menjadi lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Markas Induk Pas
Kawasan Jerai, di sini, semalam.
Menurutnya, sekiranya proses tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih
awal, maka penjimatan itu dapat diberikan kepada pengguna, di samping
kerajaan negeri juga akan berpeluang mendapatkan hasil dengan lebih
cepat kalau ia diproses lebih cepat.


0 orang berkata:
Post a Comment