YAN - Polis Kedah mengesahkan menerima laporan kes berhubung Ketua
Wanita cawangan Bandar Baru Sentul (1C) Norsidah Abu Bakar yang didakwa
ditumbuk penyokong Pas ketika merayu undi di hadapan Sekolah Kebangsaan
Ulu Sedaka di sini, hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, polis telah menerima
laporan yang dibuat Ketua Wanita Umno Bahagian Seputeh, Datuk Azizah
Abdul Samad dan mangsa, pada pukul 11 pagi ini.
Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis akan menyiasat kes itu
mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah
kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan, katanya pada
sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini hari ini.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi tadi di mana wanita itu
ditumbuk di bahagian muka. Kita sedang usaha kesan siapa yang melakukan
perkara ini dan wanita itu telah dirawat sebagai pesakit luar di
Hospital Yan," katanya.
Ahmad meminta penyokong kedua-dua parti agar mematuhi arahan polis dan
nasihat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses
pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai
Limau berjalan lancar.
"Polis akan sentiasa bantu SPR agar mereka tidak dikasari mana-mana
penyokong semasa menjalankan tugas. Polis sedaya upaya sentiasa pastikan
keadaan terkawal di kesemua 17 pusat pengundian," katanya.
Sementara itu, Norsidah, 50, yang juga anggota Jawatankuasa Wanita
Bahagian Batu berkata beliau bersama perayu undi Barisan Nasioanl (BN)
lain yang tiba lebih awal mengambil tempat di kawasan berhadapan sekolah
itu.
Mereka kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki dari Pas yang menyuruh
mereka beredar dengan alasan tempat berkenaan milik mereka, katanya.
"Disebabkan keengganan kami (untuk beredar setelah didesak oleh
kumpulan lelaki itu), maka mereka bertindak kasar hingga polis terpaksa
mententeramkan keadaan.
"Tiba-tiba seorang lelaki berusia 30an menumbuk bahagian mata saya
dengan tangannya yang dibaluti bendera Pas. Akibat tumbukan kuat itu,
saya terus rebah dan hampir pitam," katanya.
Beliau kemudiannya dibawa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan
Ulu Sedaka berhadapan sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital
Yan untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Doktor menyuntik ubat tahan sakit dan menasihatkan saya supaya kembali
ke hospital jika mata saya masih berdenyut dan sakit dalam masa 24 jam
ini," katanya yang telah sembilan hari berada di sini untuk berkempen
bagi meraih undi di Dun Sungai Limau. - Bernama



0 orang berkata:
Post a Comment