13/04/14
Amerika nafi MH370 mendarat di pangkalan tentera Diego Garcia
Amerika Syarikat (AS) menafikan pesawat
Malaysia Airlines MH370 mendarat di pangkalan tentera mereka di lokasi
terpencil di Diego Garcia, lapor akhbar Britain Daily Mirror.
Akhbar berkenaan melaporkan, jurucakap
kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan perkara itu di sebalik khabar
angin dan spekulasi mengatakan pesawat dengan 239 penumpang dan anak
kapal mendarat di sana."Tiada petunjuk mengatakan pesawat MH370 terbang
berhampiran Maldives mahupun Diego Garcia.
"MH370 tidak mendarat di Diego Garcia," katanya dipetik laporan akhbar.
Beliau turut berkata, dalam usaha sama
koordinasi misi carian pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu, tentera laut
AS kini bekerjasama dengan Malaysia dan Australia, bersama 26 lagi
negara.
Lokasi Diego Garcia sekitar 3,500 kilometer dari Malaysia.
Hari ini masuk hari ke-36 misi mencari
pesawat berkenaan di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan
Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Bluefin 21 kerana
dikhuatiri bateri kotak hitam kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan
pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas.
Dua isyarat getaran akustik dikesan
Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield,
manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis
disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah
permukaan air.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)
berkata bagi misi mencari pada Sabtu, Ocean Shield terus menumpukan
usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan
menggunakan alat pengesan pinger ditunda.
Menurutnya, AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo.
"Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas," menurut JACC dalam kenyataan hari ini.
JACC berkata sembilan pesawat tentera,
sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di
Lautan Hindi pada Sabtu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393
kilometer persegi.
Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya.
Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Ketua
Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata Kenderaan Dalam Air Automatik
akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri
kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka
hayat 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan
mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China,
Haixun 01, pada 4 dan 5 April manakala Ocean Shield mengesan empat
isyarat pada 5 dan 8 April.
Kotak hitam merekodkan data kokpit dan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang
dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di
kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama. – TMI
0 orang berkata:
Post a Comment