• Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz hari ini berharap Umno terus konsisten untuk menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya, beliau turut menyambut baik respon positif daripada Umno yang turut menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan.

"Kita harap Umno konsisten dan memberikan respon positif terhadap perlaksanaan hudud di Kelantan.

"Ini selaras kesediaan kerajaan Pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen tersebut.

"Hal ini sebagaimana jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan melahirkan hasrat melaksanakan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 (Hukum Hudud).

Perkara berkenaan diputuskan Menteri Besar Kelantan dalam mesyuarat Exco negeri Kelantan pada 2 April lalu sebagai menyahut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat pada 28 Mac bahawa kerajaan pusat bersedia membantu jika kerajaan negeri Kelantan bersedia melaksanakan undang-undang berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, ketika disoal mengenai tindakan MCA yang akan menolak usul hudud di Parlimen, Nik Abduh berkata, beliau berharap Umno memberi penjelasan sebaiknya terhadap rakan komponennya mengenai kebaikan hukum hudud.

"Hukum hudud bertindak sebagai mensejahterakan manusia dan menjadikan manusia lebih mulia.

"Jadi kita harap kita sebagai orang Islam, sama-samalah kita membantu orang bukan Islam memahami kebaikan hukum hudud ini," katanya.