Saturday, April 5, 2014
Memali: Apakah Dalih Mahathir Kali Ini?
Semakan Mahathir mengenai diarinya mungkin tidak bermakna lagi
Shahbudin Husin - APRIL 05, 2014
Shahbudin Husin - APRIL 05, 2014
Bekas Timbalan
Perdana Menteri, Musa Hitam akhirnya tampil dengan penjelasan panjang
lebar mengenai peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 dan
kaitan dengan kemunculannya dalam sebuah program di Kelantan minggu lalu
yang membuatkan beliau mengatakan bahawa Mahathir Mohamad berada di
dalam negara ketika peristiwa itu berlaku.
Dalam
kenyataannya dalam program anjuran kerajaan negeri Kelantan yang turut
disertai oleh Naib Presiden PAS Husam Musa itu, beliau bukan saja
mengatakan Mahathir berada di dalam negara ketika peristiwa itu berlaku,
bahkan juga dua tiga hari selepasnya.
Dakwaan Musa
Hitam itu menimbulkan pelbagai persoalan baru tentang kesahihannya
kerana maklumat sebelum ini mengatakan Mahathir berada di China pada
tarikh tersebut.
Mahathir
sendiri ketika bercakap mengenainya sehari selepas Musa membuat dakwaan
itu turut tidak dapat mengesahkan secara tepat di mana beliau berada
ketika itu.
Menurut
Mahathir, oleh sebab kejadian itu sudah lama, kira-kira 30 tahun lalu,
beliau sudah tidak ingat lagi mengenainya. "Pasal perkara itu sudah
berlaku begitu lama, saya mesti semak baliklah apa yang dia katakan itu
betul atau tidak," demikian Mahathir dilaporkan sebagai berkata mengenai
dakwaan terbaru bekas timbalannya itu.
Bagaimanapun selepas seminggu berlalu, semakan Mahathir mengenai diairinya seolah-olah tidak menemui jawapan.
Sehingga ini,
beliau masih tidak muncul untuk mengesahkan sama ada beliau berada di
dalam negara atau di China ketika itu sedangkan untuk melakukan semakan
itu, dalam dunia serba terbuka ini, bukanlah terlalu sukar.
Namun demikian,
beberapa blog dan portal pro-kerajaan dilihat tampil mempertahankan
Mahathir dengan mengemukakan beberapa keratan akhbar yang mengatakan
Mahathir memang berada di China atas urusan rasmi.
Gambar Musa Hitam menghantarnya di lapangan terbang juga turut disertakan.
Tidak cukup
dengan itu, bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin juga
mengesahkan Mahathir berada di China, di mana beliau turut serta dalam
lawatan itu.
Beliau juga
merakamkan ingatannya bagaimana Mahathir terlihat sedih pada suatu
ketika apabila baru menerima perkhabaran mengenai kejadian Memali itu.
Namun di
penghujung tulisan di blognya, Zam juga terlihat ragu-ragu dengan
awal-awal meminta maaf jika beliau tersilap mengenainya.
Blog dan portal
tersebut juga banyak membelasah Musa Hitam berikutan dakwaannya itu
dengan mengatakan beliau masih mempunyai dendam yang belum dilangsaikan
terhadap Mahathir.
Di sebalik
pendedahan blog dan portal itu, ada juga yang mengatakan bahawa lawatan
Mahathir ke China itu sebenarnya hanya bermula pada 20 November manakala
kejadian Memali direkodkan pada 19 November dan tidak mustahil juga
serangan polis sudah pun bermula pada 18 November lagi.
Barangkali
kerana menunggu terlalu lama untuk Mahathir menyemak diarinya dan
mengesahkan di mana beliau sebenarnya berada ketika itu, maka hari ini
Musa Hitam membuat keputusan tampil dengan kenyataan baru serta panjang
lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaan yang dibuatnya di Kota Baru sebelum
ini.
Dalam
penjelasan Musa Hitam ini, secara kesimpulannya, beliau mengesahkan
sekali lagi bahawa Mahathir memang berada di dalam negara ketika
kejadian itu, bahkan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika
itu turut memberikan taklimat kejadian kepada Perdana Menteri.
Menurut Musa,
beliau ada meminta Mahathir menangguhkan lawatannya berikutan peristiwa
Memali atas beberapa faktor seperti ia melibatkan umat Islam dan
kejadian pula berlaku di Kedah, namun lawatan itu akhirnya tetap
diteruskan juga, sambil menafikan beliau memangku jawatan Perdana
Menteri ketika itu.
Dengan
keberanian Musa tampil untuk kali kedua mengesahkan apa yang
dikatakannya, serta menyebut beliau menunggu detik untuk menceritakan
kebenaran ini dengan begitu lama, tidak syak lagi bahawa Mahathir memang
ada di dalam negara dan hanya berlepas ke China selepas kejadian Memali
itu.
Fakta lain yang
mengesahkan Mahathir berada di dalam negara ialah berdasarkan buku
tulisan Tunku Muszaffar Shah, Ketua Polis Baling ketika itu yang
bertajuk "The Policeman Remembers".
Petikan helaian tulisannya itu sudah bertebaran di alam maya sejak minggu lalu lagi.
Ini sekaligus bermakna, semakan Mahathir terhadap diairinya mungkin sudah tidak bermakna lagi.
Penjelasan
terperinci Musa ini memberi petunjuk bahawa Mahathir tidak perlu lagi
menyemak diarinya kerana maklumat yang diberikan sudah cukup jelas.
Cuma, yang ditunggu selepas ini ialah apakah Mahathir akan mengakuinya atau beliau ada kilasan lain terhadap Musa Hitam?
0 orang berkata:
Post a Comment