• Mohd Azizuddin Mohd Sani
1 / 1
SHAH ALAM – Azmin Ali, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka kekal dalam senarai calon bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada hari Pemilihan PKR 2014, bulan depan.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tiga calon lain mungkin bakal menarik diri daripada bertanding.


Menurutnya, penyandang jawatan itu Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilihat mendapat sokongan kuat berbanding calon lain.


“Azmin Ali, Abdul Khalid, Datuk Saifuddin nampak mendapat sokongan kuat daripada ahlinya. Yang lain tak nampak sokongan kuat.


“Kemungkinan di saat akhir nanti tiga calon yang lain itu akan menarik diri,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.


Ketika dibangkitkan soal pertembungan enam penjuru bagi merebut jawatan kedua tertinggi parti itu, beliau melihat suasana itu sebagai suatu perkembangan yang sihat selain mempunyai makna tersirat.


“Memang bagus apabila ramai yang bertanding, lambang demokrasi tapi pada masa yang sama ada juga yang mengambil peluang.


“Kalau calon yang tak terkenal itu, mungkin ini platform mereka untuk memperkenalkan diri dan menonjolkan diri ke peringkat lebih tinggi.


Tapi saya lihat ramai calon yang mempunyai peluang dari kelompok masing-masing dan mereka ada niat tersendiri,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai peluang Azmin dalam pemilihan kali ini, beliau yakin Azmin masih berpengaruh untuk kekal menyandang jawatan itu.


“Saya tak nampak dia akan kalah tapi kalau dia kalah pun, dia tetap ada tempat. Dia masih muda. Anwar akan tetap beri dia peranan dalam parti.


“Azmin sudah layak sebenarnya menjadi presiden tetapi perlu mendapat restu dari Anwar. Setakat ini kita lihat Anwar masih menaruh harapan kepada Azizah utk mewakili dia,” katanya.


Tambahnya, apabila Datin Seri Wan Azizah kekal sebagai Presiden, peluang untuk orang lain memegang jawatan agak sukar.


"Orang pilih Azizah sebab dia isteri Anwar. Jadi, kalau ada yang menentang Azizah, itu akan dianggap tidak molek.


"Melainkan Anwar atau Azizah menarik diri lainlah. Pasti akan sengit perebutan jawatan Presiden itu," katanya.


Setakat ini, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Abdul Khalid, Tian Chua, Ramachandran dan Murali Subramaniam.