• Noh Omar Noh Omar
1 / 1
KUALA SELANGOR - Umno Selangor akan membawa isu penjualan aset tanah milik salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berikutan ia menimbulkan keraguan dan dikhuatiri mempunyai unsur rasuah.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, perjanjian urus jual beli tanah milik Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada syarikat swasta itu menimbulkan pertikaian apabila perjanjian ditandatangani selepas Dun dibubarkan April tahun lalu.

Menurutnya,  Umno Selangor melihat perkara ini sangat serius kerana tindakan kerajaan negeri menjual tanah menjelang pilihan raya sedangkan hanya berperanan sebagai ‘caretaker’ sahaja, malah ketika itu Pakatan Rakyat (PR) hanya boleh melaksanakan urusan pentadbiran biasa sahaja.

“Sesebuah kerajaan yang di bawah 'caretaker', urusan seperti penjualan harta atau mana-mana aset kerajaan tidak boleh dilakukan kerana sewaktu Dun sudah dibubarkan.

“Sebab itu, Umno Selangor mahu membawa perkara ini kepada SPRM supaya mereka dapat menyiasat sama ada wujudnya unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Lagi mengejutkan apabila tanah dijual dengan nilai di bawah harga pasaran dan jauh lebih murah... kalau nak jual, patutnya ikut harga pasaran tapi ini tidak dan boleh merugikan.

“Jual tanah kerajaan negeri dalam keadaan tergesa-gesa menjelang pilihan raya juga menimbulkan banyak tanda tanya,” katanya ketika diminta mengulas isu penjualan tanah milik PNSB di Kuala Langat yang mencurigakan.

Pada April tahun lalu, kerajaan negeri menjual 468.8 hektar tanah paya di Kuala Langat kepada sebuah syarikat swasta dengan bidaan paling tinggi bernilai RM1.29 bilion selepas 15 syarikat terkemuka membuat bidaan untuk tanah tersebut.

Selangor bersetuju syarikat swasta terbabit membayar bayaran ‘tertunda’ dalam tempoh 20 tahun, termasuk 12 tahun ansuran nilai tanah sebanyak RM587 juta dan bukan saja tanah dijual tapi turut memberikan pelan pembangunan kawasan itu.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor berkata, harga tanah yang dijual jauh lebih rendah dari harga pasaran sedangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang tokoh korporat yang tahu selok-belok urusan perniagaan.

“Mengapa Abdul Khalid terlalu mudah diperbodohkan dengan menjual harga lebih murah iaitu RM17 kaki persegi berbanding harga dijual semula oleh syarikat swasta terbabit mencecah RM35 kaki persegi?

“Apabila syarikat swasta itu berjaya jual sebahagian tanah iaitu 128 hektar dengan harga RM470 juta, kerajaan negeri mula gelabah dan mahu menuntut baki tunggakan yang masih belum dilangsaikan.

“Kita boleh lihat Abdul Khalid sekarang desak syarikat swasta itu supaya melangsaikan tuntutan RM844 juta berikutan syarikat itu sudah raih untung atas angin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Selangor 2014 di Stadium Kuala Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun sebelum ini, Abdul Khalid menegaskan, tuntutan RM844 juta daripada syarikat swasta untuk tanah yang dijual di Kuala Langat adalah tindakan tepat kerana syarikat terbabit telah pun mendapat keuntungan awal berdasarkan harga tanah tersebut.