• Ismail Sualman Ismail Sualman
1 / 1
SHAH ALAM – Penganalisis politik menjangkakan beberapa alternatif bakal dikemukakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pertemuan hari ini.

Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismail Sualman berkata, kemungkinan terbesar yang bakal dicadangkan Abdul Khalid kepada Tuanku ialah pembubaran Dun iaitu berlakunya proses Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya tidak fikir beliau akan berundur bagaimanapun, jangkaan lain mungkin mencadangkan kepada Sultan untuk meminta nama calon pengganti lain selain dua nama yang dikemukakan sebelum ini.

“Selain itu, alternatif lain ialah Sultan meminta pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam PR menghadap baginda dengan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bagi mengelakkan pembubaran Dun berlaku dengan menamakan calon lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, jalan terbaik yang difikirkan ialah menamakan calon lain dari PKR dan sekiranya ia tidak mendapat perkenan nama dari rakan sekutu Pas mungkin akan naik.

“Kalau dari Pas mereka berdepan perbalahan konsensus PR tapi untuk lompat kepada calon gantian Umno itu memang jauh sekalilah,” katanya.

Setelah hampir dua minggu Abdul Khalid mendiamkan diri akhirnya beliau bersuara menyatakan hasratnya menghadap Sultan pada Isnin, 25 Ogos setelah baginda memendekkan percutian di luar negara.