• Azmin Ali Azmin Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Kelantan bagi mendapatkan maklum balas mengenai kerusi Dun Pengkalan Kubor yang ditandingi parti itu sejak 2008.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu dengan pimpinan dan akar umbi PKR Kelantan kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Majlis PR untuk tindakan lanjut.

"Secara tradisi ini adalah kerusi PKR pada 2008 dan 2013... kita akan angkat maklum balas yang kita bincangkan esok dengan pimpinan akar umbi dan cabang kemudian kita akan bawa dalam Majlis PR.

"Insya-ALLAH kita mahu supaya Pengkalan Kubor ini dapat kembali ke tangan PR dan PKR dalam pilihan raya akan datang," katanya ketika sesi penggulungan ucapan dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional PKR, di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Azmin pada Jumaat lalu memberitahu beliau sudah mengadakan perbincangan dalam Majlis Pimpinan Pusat untuk menemui Pengerusi PKR Kelantan, Aziz Abdul Kadir untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu.

Kerusi Dun N1 Pengakalan Kubor menjadi kosong apabila penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar dari BN meninggal dunia akibat kanser pada Rabu lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan meninggal dunia di Ghuangzhou, China ketika mendapatkan rawatan perubatan.

Pada PRU13 lalu, Noor Zahidi menang besar dengan majoriti 1,763 undi dalam pertandingan tiga penjuru antara calon dari PKR, Saharun Ibrahim dan calon dari Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Semalam, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah meminta kerusi dalam Parlimen Tumpat itu diserahkan kembali kepada Pas setelah ia ditandingi PKR sejak dua penggal lalu.

PKR bertanding di kerusi tersebut dalam dua pilihan raya umum iaitu pada 2008 dan 2013 namun gagal meraih kemenangan.

Bagaimanapun kerusi sama yang pernah ditandingi Pas pada 1999 pula menang besar ke atas BN dengan majoriti 2,432 undi.