5/09/14
Mat Sabu: Kami tak tahu senarai baru calon MB
Jawatankuasa Pusat PAS tidak mengetahui senarai nama calon menteri besar Selangor lain yang telah dihantar kepada pihak Istana.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu
berkata beliau dan ahli jawatankuasa pusat lain tidak mengetahui laporan
bahawa nama yang dihantar kepada Istana bukan sepertimana yang
dipersetujui dalam mesyuarat 17 Ogos lalu.
"Saya ingin menyatakan bahawa dalam
perkara yang disebut Setiausaha Agung PAS, Dato Mutapha Ali semalam
seperti laporan pelbagai media, bahawa nama Datuk Seri Dr Wan Azizah dan
Azmin Ali tidak ada dalam senarai pencalonan PAS adalah tidak dalam
pengetahuan saya.
"Laporan tentang kenyataan itu juga ada
menyebutkan bahawa Setiausaha Agong (Datuk Mustafa Ali) mengakui PAS
telah menyenaraikan salah seorang exco PAS sebagai calon MB.
"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu
akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai Badan Eksekutif yang mengendalikan
urusan harian pentadbiran dan strategi parti," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat
Sabu mengakui perkembangan terbaru ini memberi persepsi negatif kepada
PAS dan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun beliau menegaskan PAS komited dengan semua keputusan mesyuarat yang disepakati pimpinan pusatnya.
"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
pada 25 hb Ogos pula mengambil keputusan bahawa kami sepakati atas nama
yang diputuskan pada mesyuarat 17 hb Ogos dan menyerah kepada Kuasa
Budibicara Tuanku Sultan untuk membuat pilihan calon Menteri Besar
Selangor itu," kata beliau.
Semalam, beberapa pemimpin kanan PKR
memberitahu Malaysiakini bahawa PAS tidak mengemukakan nama Wan Azizah
dan Azmin kepada pihak istana.
Ini bertentangan dengan pendirian PAS
pada 17 Ogos lalu yang memutuskan menyokong Azizah di samping Azmin
sebagai calon menteri besar.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali
semalam mengesahkan bahawa parti itu menghantar dua nama calon MB –
seorang ADUN PKR dan seorang lagi dari PAS.
Walaupun beliau tidak menyebut nama
ketiga-tiga ADUN berkenaan, laporan yang muncul setakat ini menunjukkan
bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan tiga nama
exco Selangor dari parti itu – Iskandar Ab Samad, Sallehin Mukhyi dan
Ahmad Yunus Hairi.