• Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali ketika berucap selepas dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali ketika berucap selepas dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
GOMBAK – Rakyat Selangor mungkin akan menikmati pengembalian aset penyusunan semula air Selangor yang bernilai jutaan ringgit kepada rakyat secara saham pada masa akan datang.

Bagaimanapun menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secepat mungkin dalam masa terdekat.

“Saya perlu meneliti kesemua dokumen dan berjumpa dengan agensi berkenaan untuk mengumpul maklumat. Ia bertujuan bagi mengelakkan wujudnya sebarang spekulasi pada masa akan datang.

“Apa yang penting buat masa sekarang ialah rakyat Selangor menerima manfaat yang sepatutnya diberikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak akan mendedahkan sebarang polisi, urusan dan perjanjian yang dibuat oleh menteri besar sebelumnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkenaan dengan beberapa projek besar yang diuruskan oleh Abdul Khalid sebelum ini.

“Saya tidak akan mencadangkan untuk dedahkan sebarang maklumat mengenai urusan dan perjanjian melibatkan perjanjian Kidex, perjanjian Aset Air Negeri Selangor atau seumpamanya.

“...Bagaimanapun saya akan mendapatkan taklimat penuh berkenaan isu-isu tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di kediaman ibunya di Kampung Klang Gate, di sini hari ini.

 Mohamed Azmin tiba seawal jam 8:15 pagi  bagi upacara Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang, dan kemudiannya menuju ke Masjid Klang Gate untuk menunaikan solat Zohor bersama-sama penduduk setempat.

Usai solat Zohor, beliau menuju ke kediaman bondanya, Che Tom Yahaya di Kampung Klang Gate untuk berjumpa ibunya dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum meneruskan perancangan untuk mengadakan mesyuarat membincangkan kedudukan barisan Exco Selangor.

Beliau berharap dengan pelantikan tersebut, kemelut melibatkan kerusi menteri besar yang melibatkan semua parti antara PR diselesaikan dengan serta-merta.

“Kita harap krisis ini diselesaikan segera. Kita mahu maju ke hadapan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam membangunkan negeri Selangor dan memajukan rakyat negeri ini,” ujarnya.