• Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar ketika Muktamar Tahunan Pas kali ke-60 di Batu Pahat, Johor, hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar ketika Muktamar Tahunan Pas kali ke-60 di Batu Pahat, Johor, hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
BATU PAHAT - Pas hari ini melahirkan keyakinan bahawa hubungan dengan rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan kembali pulih selepas isu Menteri Besar (MB) Selangor selesai.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui masalah pasti timbul dalam mana-mana parti pun dan terpulang kepada anggota dalam pakatan pembangkang itu untuk menyelesaikannya.
  
"Itu masalah (isu MB Selangor) yang harus diselesaikan. Cuma bagaimana kita nak selesaikan masalah itu. Saya yakin (hubungan akan pulih), insya-Allah," kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-60 di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada hubungan ketiga-tiga rakan sekutu itu bakal pulih dengan kemelut isu MB Selangor yang masih belum selesai.
  
Apabila ditanya ketidakhadiran pemimpin tertinggi PKR dan DAP pada perasmian muktamar seakan menunjukkan protes mereka terhadap pendirian Abdul Hadi dan Majlis Syura Ulama mengenai isu MB Selangor, beliau menafikan dakwaan itu.
 
Beliau sebaliknya berkata muktamar parti itu masih dihadiri dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mat Akin serta Pengerusi DAP Johor dan Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook.
  
Bagaimanapun, kelibat Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan di muktamar itu.
  
Mengenai isu MB Selangor, Abdul Hadi berkata, segala keputusan terletak pada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  
"Sudah tentu jalan keluarnya ada dan kita tahu dalam Perlembagaan kita bukan sahaja parti-parti politik yang demokrasi dalam pilihan raya termasuklah raja mengikut perlembagaan," kata beliau.
  
Ketika ditanya sama ada Pas akan menerima Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya beliau memohon masuk Pas, Abdul Hadi berkata: "Semua pihak mengemukakan pandangan mereka. Buat masa ini, ia tidak timbul."  

Abdul Hadi pernah dilaporkan sebagai menyarankan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, namun mendapat tentangan Angkatan Muda Keadilan (AMK). - Bernama