• Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi
1 / 1


GEORGETOWN - Polis sudah melengkapkan kertas siasatan penahanan 157 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) termasuk pengerusinya, Phee Boon Poh dan Adun Seri Delima, RSN Rayer serta menyerahkannya kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya hanya menunggu arahan KUP untuk tindakan lanjut.

"Siasatan sudah lengkap dan kita menunggu arahan KUP," katanya pada sidang media disini selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan semua anggota PPS yang ditahan termasuk Boon Poh dan Rayer dibebaskan secara berperingkat dengan jaminan polis sejak Isnin lalu.

Polis juga merekodkan keterangan mereka termasuk empat anggota PPS yang positif dadah.

Abdul Rahim sebelum ini berkata, polis perlu mendapatkan laporan dari Jabatan Kimia sama ada dadah itu berpunca dari ubat yang diambil atau pengambilan dadah.

"Kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 manakala empat yang positif dadah akan disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali,"katanya.

Terdahulu,  seramai 11 daripada 156 anggota PPS yang ditahan polis didapati mempunyai rekod jenayah lampau termasuk cubaan membunuh, ahli kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, kesalahan bawah akta kastam dan beberapa kesalahan lain.

Mereka ditahan Ahad lalu selepas menyertai perbarisan hari kemerdekaan di Padang Kota Lama yangturut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan barisan Exco.