• Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
PARIT - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang lantang bersuara memperjuangkan empat teras utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkata, beliau bukan bersikap perkauman atau menghalang hak bangsa lain tetapi cuma mahu menegakkan keistimewaan hak Melayu.
  
Empat teras yang diperjuangkan beliau ialah Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Sultan sebagai raja berpelembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan kepada orang Melayu.
  
"Mereka (kaum lain) mahu kesamarataan dan apa yang kita mahu lakukan adalah kesaksamaan. Kenapa hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dipertikaikan. Adakah jika kita mempertahankan hak kita, kita dipandang perkauman.
  
"Kita mempertahankan hak kita dengan tidak menafikan hak kaum lain tetapi jangan cuba menggugat hak orang Melayu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit 2014, di sini hari ini.
  
Pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh di Terengganu semalam, Ahmad Zahid mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengganggu empat teras utama yang menjadi tonggak perundangan negara.
  
Ahmad Zahid berkata, pada masa kini, terdapat pihak tertentu yang cuba menyanggah empat teras itu apabila melihat orang Melayu mula berpecah.
  
"Cukuplah bertelagah tidak kira di dalam Umno, Pas atau PKR. Kita sebagai orang Melayu perlu bersatu untuk sama-sama mempertahankan empat perkara ini kerana ia tidak ternilai harganya dan kita tidak mahu ia dihapuskan daripada Perlembagaan," katanya.
  
Beliau turut meminta ahli Umno supaya jangan terus bersengketa sebaliknya berusaha mengambil langkah mempererat hubungan demi membantu kerajaan membela rakyat.
  
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan mana-mana pihak yang cuba untuk mempertikaikan empat teras itu boleh disiasat mengikut Akta Hasutan 1948. - Bernama