•  Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
1 / 1
SHAH ALAM – Pemuda Pas hari ini menuntut permohonan maaf dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mengenakan tindakan undang-undang ke atas Jabatan Amal Pemuda Pas seperti yang dilakukan kepada PPS.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat dalam sebuah kenyataan hari ini, menyelar menteri itu yang disifatkan bertindak di luar batasan.

“Saya minta beliau kemukakan permohonan maaf secara terbuka di atas kesilapan kenyataannya terhadap Jabatan Amal Pemuda Pas,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Amal Pemuda Pas adalah sebuah badan kebajikan yang memberi bantuan kemanusiaan dari Pemuda Pas kepada rakyat Malaysia.

“Sudah lebih 20 tahun Jabatan Amal Pas memberikan pelbagai khidmat kepada masyarakat.

“Selama tempoh itu, Jabatan Amal Pas adakalanya mengadakan kerjasama dengan agensi dan pihak polis.

“Saya tidak nampak apa sebab kerajaan perlu ambil tindakan ke atas badan kebajikan tersebut,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau menuntut Ahmad Zahid melakukan permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan yang dibuat terhadap Jabatan Amal Pemuda Pas.