• Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad
1 / 1
KOTA BHARU - Umat Islam di negara ini dinasihat jangan terpedaya dengan istilah 'mati syahid' yang kononnya akan diperoleh jika mereka mati ketika berjuang bersama kumpulan militan negara Islam (IS) di Syria.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata mereka yang menyertai kumpulan berkenaan dan meninggal dunia di Syria misalnya tidak boleh dikategorikan sebagai mati syahid.
 
"Kalau (kita) Islam lawan Islam, mana boleh kata mati syahid," katanya  kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.
 
Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sekolah turut direkrut sertai militan]

Sementara itu, Mohamad Shukri menambah, beliau meminta umat Islam tidak menyertai kumpulan berkenaan kerana ia bercanggah dengan pegangan agama.
 
"Bukan kumpulan IS sahaja, mana-mana kumpulan yang disifatkan sebagai ekstrem kita tidak boleh sertai sebab Islam tak benarkan.
 
"Kaedah Islam ini adalah kesederhanaan dan mengikut peraturan, kalau menyertai pertubuhan yang tidak mengikut syarak dan undang-undang, maka tidak dibenarkan," katanya.
 
Mohamad Shukri berkata ibu bapa dinasihatkan supaya lebih kerap memantau anak-anak mereka untuk tidak menyertai kumpulan ini.
 
"Minta semua ibu bapa awasi dan kita kena lihat siapa anak kita berkawan, tidak boleh biarkan anak ikut menyertai (sesuatu) pertubuhan sesuka hati dan perlu diawasi serta dijaga lebih pada zaman sekarang," katanya. - Bernama