• Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika keluar selepas selesai pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen, petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
KUALA LUMPUR - [VIDEO] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini  ialah pengulangan bajet yang sama saban tahun.
Jelas Anwar, beliau berkata sedemikian kerana Perdana Menteri tidak menyentuh secara holistik (menyeluruh) mengenai cara menangani ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

"Seperti biasa bajet ini mengulangi beberapa pengumuman awal tiap-tiap tahun sepertimana bajet enam, tujuh tahun yang lalu.

"Kerajaan umpamanya tidak menyatakan kos yang meningkat dan cara  untuk tanganinya, misalnya kenaikan harga minyak adalah tidak munasabah apabila harga minyak antarabangsa mengalami penurunan.

"...di samping itu soal kebocoran, rasuah,  ketirisan tender  dalam pemberian beberapa kontrak besar yang menyebabkan kos meningkat ini tidak disentuh, kebocoran ini memberi kesan yang berbahaya jika tidak ditangani," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Sementara menyentuh mengenai pelebaran pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam pembentangan Bajet 2015 ini, Anwar berkata, pengenalan GST tetap akan membebankan rakyat.

"GST bukan pengecualian semata-mata tetapi ia akan meningkatkan harga barang," katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, walaupun Bajet 2015 dikatakan sebagai bajet pro rakyat namun baginya bajet ini tidak berjiwa rakyat.

"Kita lihat bajet yang disebut sebagai bajet rakyat namun saya rasa, ini tidak benar-benar berjiwa rakyat.

"Walaupun sekarang ada beberapa langkah untuk kurangkan beban rakyat tetapi dari segi perkara pokok tiada usaha untuk bantu rakyat di mana kita hendak selesaikan kronisme  contohnya lihat projek 1MDB, semua isu ini belum dijawab dan  ditangani kalau benar -benar hendak berjiwa rakyat pertalian kronisme haruslah dihapuskan, namun sehingga sekarang tiada usaha untuk tangani perkara ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2015 iaitu bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).
  
Seperti pelan tindakan kewangan yang lain, Najib yang juga Menteri Kewangan mengatakan  bahawa Bajet 2015 merupakan belanjawan 'pro rakyat' dan meliputi langkah-langkah mengurangkan beban kos hidup.
  
Antara lain, Bajet 2015 ialah membantu meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik.
  
Selain, menggariskan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).