• Dr Afif Bahardin Dr Afif Bahardin
1 / 1
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menyambut baik usaha Badan Perhubungan Pas negeri untuk menyelesaikan isu penyingkiran Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim daripada semua jawatan yang disandangnya dalam Jawatankuasa Tetap MPPP.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan negeri mengambil maklum akan kekesalan yang disuarakan Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang berhubung kenyataan Iszuree.

"Hakikatnya, sebagai seorang Ahli Majlis beliau perlu lebih faham polisi sebenar yang diamalkan kerajaan negeri yang sebenarnya adalah prorakyat dan sentiasa bersikap tegas terhadap mana-mana pemaju yang gagal mematuhi peraturan serta gagal menyelesaikan permasalahan berkaitan peneroka bandar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Afif berkata, insiden itu amat dikesali dan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua terutamanya anggota kerajaan negeri dan pakatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membincangkan status Iszuree yang juga Bendahari Pas negeri dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang dijadualkan esok.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan sebagai berkata isu yang timbul di Pulau Pinang sebelum ini termasuk penggantungan Iszuree itu adalah kerana tiada ruang perbincangan atas sebab teknikal seperti kesibukan.

Berikutan tiada platform untuk perbincangan, masalah pembangunan di Pulau Pinang dibangkitkan Iszuree dalam muktamar tahunan Pas ke-60 di Batu Pahat, Johor pada 28 September lepas berhubung isu perumahan serta menyamakan pentadbiran kerajaan DAP negeri dengan Barisan Nasional dalam meneruskan dasar propemaju ketika menguruskan masalah setinggan. - Bernama