• Irmohizam Ibrahim Irmohizam Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya boleh menghadiri sidang Parlimen jika telah diberi pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Anwar tiada kriteria khas dan sehingga kini pengampunan yang dipohon keluarga Anwar masih belum ada keputusan.

“Anwar tidak mempunyai sebarang asas atau kriteria khas untuk diberi keizinan menghadiri persidangan Parlimen dan  beliau harus berada di penjara seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kes beliau.

“Malah, petisyen permohonan pengampunan Agong masih belum ada keputusannya oleh Lembaga Pengampunan. Beliau hanya boleh menghadirkan diri ke Parlimen sekiranya diberikan pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Keluarga Anwar menghantar petisyen pada 24 Februari lalu kepada Lembaga Pengampunan di Istana Negara pada saat-saat akhir sebelum tempoh 14 hari diperuntukkan untuk permohonan itu tamat.

Susulan perkara itu, jawatan ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandang Anwar masih kekal, sehingga lembaga pengampunan bersidang menyatakan keputusan mereka.

Sementara itu, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menegaskan, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli parlimen akan hilang kelayakan jika dikenakan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih RM2,000.

“Saya juga ingin memperbetulkan hujahan kepada alasan-alasan yang dikeluarkan oleh beberapa tulisan di laman-laman sosial pro pembangkang yang menyatakan mengapa Datuk Seri Anwar perlu hadir ke Parlimen jelas menunjukkan kejahilan dalam memahami peruntukkan undang-undang

“Di sini saya ingin menegaskan, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan,yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000,” katanya.

Menurutnya, meskipun keluarga Anwar telah memohon pengampunan dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan pengumuman kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, itu tidak bermakna Dewan Rakyat perlu memberi kelonggaran kepada Anwar.

“Speaker Dewan Rakyat menangguhkan pengumuman mengenai kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh tersebut memandangkan keputusan petisyen Diraja belum dibuat.

“Tetapi ini tidak bermakna untuk parlimen wajib memberikan sebarang kelonggaran kepada Anwar untuk menidakkan keputusan badan kehakiman negara dengan sesuka hati dengan membuat permohonan untuk hadir ke sidang Parlimen semasa masih dalam tahanan dan sedang dalam menjalani hukuman penjara sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat,” katanya.